logo
HARUN YAHYA
PENERIMAAN ISLAM TERHADAP AGAMA YAHUDI DAN KRISTIAN
ucgen

PENERIMAAN ISLAM TERHADAP AGAMA YAHUDI DAN KRISTIAN

1714

Kita sedang hidup di satu zaman di mana dunia amat dahagakan keamanan, persahabatan, dan perpaduan. Ketegangan dan konflik yang mencorak abad ke-20 kini terus menyeliputi alaf baru, dan jiwa yang tidak berdosa di seluruh dunia terus merana kerananya.

Biarpun keperluan untuk perpaduan dan kerjasama amat mendesak, beberapa gerombolan membangkitkan konflik, terutamanya di antara dua tamadun dunia yang hebat dan teguh. Isu ini perlu diteliti kerana peperangan tamadun yang mereka rancangkan ini akan mengakibatkan malapetaka yang dahsyat. Satu daripada cara terbaik untuk menghalang bencana tersebut adalah dengan menguatkan persefahaman dan kerjasama di antara kedua-duanya. Ini bukanlah satu  tugas yang sukar kerana tiada perbezaan di antara Islam dan Yahudi-Kristian dunia barat. Sebaliknya, terdapat banyak persamaan dasar di antara mereka. Dengan meneliti situasi semasa dan kerencaman masalah dunia, nilai-nilai yang sama ini akan membolehkan persefahaman yang diidam tercapai.

Hari ini, perjuangan ideologi terus memecah-belahkan dunia. Namun, pihak Muslim bukan di satu pihak dan Yahudi dan Kristian juga tidak berada di pihak yang bertentangan. Hakikatnya, satu pihak mewakili golongan yang mempercayai kewujudan dan keesaan Allah, manakala satu pihak lagi mewakili golongan yang tidak percaya, yang yakin kepada pemikiran anti-agama sebagaimana materialisme dan Darwinisme. Hanya terdapat satu cara untuk menumpaskan pakatan kumpulan anti-agama pada satu tahap pemikiran: musnahkan pengaruh-pengaruh materialisme anti-agama yang negatif dan merosakkan serta sebarkan pemangkin masyarakat yang didominasi oleh moral, kegembiraan, ketenangan, keselamatan, dan kemakmuran.  Ini dapat dilakukan dengan membentuk satu pakatan dari orang-orang yang saksama, yakni, penganut Kristian yang taat, bersama dengan Yahudi dan Muslim yang beriman, yang akan bergerak seiringan dan bersepakat ke arah satu tujuan yang sama.

Beberapa pertikaian dan perselisihan telah berlaku di antara ketiga-tiga agama ini pada masa lalu, namun itu adalah kesan daripada pemikiran salah dan motif durjana beberapa negara, bangsa, dan individu yang mementingkan keuntungan ekonomi dan politik masing-masing tanpa menghiraukan pokok ajaran agama Yahudi, Kristian, dan Islam. Satu daripada tujuan agama samawi ini adalah untuk membawa kegembiraan, keselamatan, keamanan, dan ketenangan kepada semua manusia dengan cara mengelakkan konflik.

Justeru, persefahaman dan pakatan ini akan bertunjangkan pencarian golongan yang taat terhadap keadilan, keamanan dan sokongan untuk semua bangsa manusia. Hasilnya tidak hanya terhad kepada musyawarah dan muktamar semata-mata, namun akan memperkukuh satu pakatan di antara golongan yang memperjuangkan nilai dan tujuan yang sama, serta mencari penyelesaian terbaik untuk masalah-masalah umumnya.

Golongan Muslim, Kristian, dan Yahudi mempunyai persamaan prinsip dari segi keimanan, penyembahan, dan nilai-nilai moral serta menghadapi ancaman-ancaman yang serupa. Justeru, Ahli Kitab (Kristian dan Yahudi) diseru untuk bersatu dengan golongan Muslim sebagai anggota agama dalam menghadapi tipu daya ateisme, gerakan anti-agama, serta keruntuhan moral dan sosial. Semua Yahudi, Kristian, dan Muslim yang taat, saksama, bertoleransi, membantu, bersifat mendamaikan, waras, bertakwa, aman, dan adil dalam menyedari bahawa kita mempercayai Tuhan yang sama serta bersungguh-sungguh untuk menghidup dan menyebarluaskan jangkauan nilai moral yang baik, perlu menyebarkan kebaikan ini ke seluruh dunia.

Kami umat Islam mencintai nabi Musa (a.s) dan nabi Isa (a.s), mengetahui bahawa mereka disayang dan dikasihi di hadirat Tuhan, dan beriman kepada semua nabi-Nya. Tambahan pula, kami menghormati kepercayaan, nilai moral, dan tradisi bangsa Yahudi dan Kristian, memandangkan Allah menghendaki kami mengajak Ahli Kitab supaya “bersatu kepada satu ketetapan”:

Katakanlah: “Hai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahwa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebagian kita menjadikan sebagian yang lain sebagai tuhan selain Allah. Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka: Saksikanlah, bahwa kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah).”
(Surah Al-‘Imran, ayat 64)

Umat Islam merupakan golongan yang beriman kepada Al-Quran yang diwahyukan kepada nabi Muhammad (s.a.w) dan juga kitab-kitab sebelumnya: Kitab nabi Ibrahim (a.s), Taurat nabi Musa (a.s), Zabur nabi Daud (a.s), serta Injil nabi Isa (a.s). Namun seiring dengan peredaran waktu, kitab-kitab ini telah ditahrif sehingga mengandungi isi yang benar (misalannya: keimanan kepada Tuhan, kebaikan, hari pembalasan, dan penolakan terhadap berhala), dan kandungan yang diubah. Antara ayat yang membenarkannya adalah seperti berikut:

Dia menurunkan Al-Kitab (Al-Quran) kepadamu dengan sebenarnya; membenarkan kitab yang telah diturunkan sebelumnya dan menurunkan Taurat dan Injil.
(Surah Al-‘Imran, ayat 3)

Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat di dalamnya (ada) petunjuk dan cahaya (yang menerangi), yang dengan Kitab itu diputuskan perkara orang-orang Yahudi oleh nabi-nabi yang menyerah diri kepada Allah, oleh orang-orang alim mereka dan pendeta-pendeta mereka, disebabkan mereka diperintahkan memelihara kitab-kitab Allah dan mereka menjadi saksi terhadapnya.
(Surah Al-Maa-idah, ayat 44)

Allah menyatakan bahawa Ahli Kitab juga merupakan golongan yang beriman seperti dalam ayat berikut:

Mereka itu tidak sama; di antara Ahli Kitab itu ada golongan yang berlaku lurus, mereka membaca ayat-ayat Allah pada beberapa waktu di malam hari, sedang mereka juga bersujud (sembahyang). Mereka beriman kepada Allah dan hari penghabisanmereka menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang munkar dan bersegera kepada (mengerjakan) pelbagai kebajikan; mereka itu termasuk orang-orang yang saleh. Dan apa saja kebajikan yang mereka kerjakan, maka sekali-kali mereka tidak dihalangi (menerima pahala)nya; dan Allah Maha Mengetahui orang-orang yang bertakwa.
(Surah Al-‘Imran, ayat 113-115)

Dan sesungguhnya di antara Ahli Kitab ada orang yang beriman kepada Allah dan kepada apa yang diturunkan kepada kamu dan yang diturunkan kepada mereka sedang mereka berendah hati kepada Allah dan mereka tidak menukarkan ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit. Mereka memperoleh pahala di sisi Tuhan-nya. Sesungguhnya Allah amat cepat perhitungan-Nya.
(Surah Al-‘Imran, ayat 199)

Justeru, sikap seseorang Muslim terhadap Ahli Kitab mencerminkan kemungkinan wujudnya penganut sejati di kalangan mereka. Hanya Tuhan yang mengetahui hati manusia, dan Dia memberitahu bahawa beberapa golongan Yahudi dan Kristian telah mendapat rahmat-Nya.

Tuhan mendedahkan bahawa Dia telah mencipta satu jalan dan cara untuk semua bangsa. Sepanjang sejarah, Dia telah mengutus nabi dan rasul kepada manusia untuk mengajar hukum, suruhan, dan larangan-Nya. Paling penting, semua utusan-Nya telah mengajak umat masing-masing untuk beriman dan menyembah kepada-Nya serta mematuhi batasan yang telah ditetapkan-Nya untuk kemanusiaan. Dengan erti kata lain, semua agama wahyu yang asal adalah berlandaskan prinsip yang tidak menyekutukan-Nya dan hidup demi mendapat keberkatan, kasih sayang, dan Syurga dari-Nya. Semua bangsa diharap untuk mengikut jalan Tuhan tanpa lalai dan melakukan kebaikan demi mendapat ganjaran dari-Nya:

Kami berikan aturan dan jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki, niscaya kamu dijadikan-Nya satu umat (saja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlomba-lombalah berbuat kebajikan. Hanya kepada Allah-lah kembali kamu semuanya, lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu.
(Surah Al-Maa-idah, ayat 48)


 


KONGSI
logo
logo
logo
logo
logo