Kedudukan wanita dalam Islam telah menjadi satu isu perdebatan sejak kebelakangan ini. Timbul beberapa salah faham, sama ada daripada amalan-amalan tradisi yang dianggap ‘Islamik’, tetapi sebenarnya tidak, ataupun melalui pelbagai prejudis. Namun demikian, isu sebenarnya adalah bagaimana wanita dilayan dalam kepercayaan Islam, dan apabila kita meneliti perkara ini, kita dapati bahawa Islam memberi nilai sosial, kebebasan dan keselesaan yang tinggi terhadap wanita.
WANITA DALAM AL-QURAN
Perintah-perintah Tuhan berkenaan status wanita dan hubungan di antara lelaki dan wanita yang telah dinyatakan kepada kita melalui Al-Quran, merangkumi keadilan yang menyeluruh. Berhubung dengan perkara ini, Islam menganjurkan kesamaan hak, tanggungjawab dan kewajipan di antara kedua-dua jantina. Islam adalah berlandaskan simpati, toleransi dan hormat-menghormati sesama manusia, dan dalam hal ini tidak mendiskriminasi wanita.
Contoh-contoh budi pekerti yang disampaikan kepada kita dalam Al-Quran secara keseluruhannya bersesuaian dengan sifat semulajadi manusia, dan sesuai untuk semua pentas sejarah.
Penghormatan terhadap wanita dan hak-hak wanita juga berlaku dalam lingkungan ini. Dalam Al-Quran, Allah menegaskan bahawa semua tugas dan tanggungjawab wanita adalah sama seperti lelaki. Malah, lelaki dan wanita harus saling bantu-membantu dalam menunaikan pekerjaan dan tanggungjawab masing-masing:
Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.(Surah At-Taubah, ayat 71)
Allah menekankan bahawa golongan yang beriman akan diberi balasan yang sama berdasarkan amalan mereka, tanpa mengira jantina.
Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmanNya): "Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain; ... (Surah Al-‘Imran, ayat 195)
Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.(Surah An-Nahl, ayat 97)
Dalam satu ayat yang lain, lelaki dan wanita Muslim dianggap setara, dan ditegaskan bahawa kedua-duanya mempunyai kewajipan dan status yang sama di hadapan Allah:
Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.(Surah Al-Ahzaab, ayat 35)
Ada banyak lagi ayat dalam Al-Quran yang menyatakan lelaki dan wanita adalah sama dari sudut tugas dan kewajipan mereka, serta pahala dan seksaannya. Terdapat beberapa perbezaan kecil dalam isu-isu sosial, namun ianya untuk keselesaan dan perlindungan untuk wanita sendiri. Perintah-perintah dalam Al-Quran turut memberi perhatian terhadap perbezaan kongenital di antara kedua-dua jantina hasil penciptaan mereka, serta menganjurkan satu sistem yang mengekalkan keadilan untuk lelaki dan wanita.
Islam tidak melihat wanita sebagai objek. Maka, ianya tidak bersesuaian untuk seorang wanita yang baik mengahwini lelaki yang buruk akhlaknya. Begitu juga sebaliknya, seorang wanita yang buruk tingkah lakunya tidak diperkenankan untuk mengahwini lelaki yang baik pekertinya:
(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia. (Surah An-Nur, ayat 26)
Berkenaan perkahwinan pula, semua tugas dan tanggungjawab sesebuah pasangan memerlukan kesamaan. Allah memerintahkan bahawa kedua-dua suami isteri adalah pelindung dan penjaga di antara satu sama lain. Tugas ini diungkapkan dalam Al-Quran melalui ayat berikut:
... Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. ...(Surah Al-Baqarah, ayat 187)
Banyak aturan dan perintah terdapat dalam Al-Quran berkenaan perlindungan hak-hak wanita dalam pernikahan. Perkahwinan adalah berdasarkan persetujuan daripada kedua-dua pihak; suami perlu menyediakan sokongan ekonomi untuk isterinya (Surah An-Nisaa’, ayat 4); suami juga perlu mengambil berat bekas isterinya selepas bercerai (Surah At-Talaaq, ayat 6).
EMANSIPASI WANITA MENURUT ISLAM
Sepertimana yang diterangkan dalam ayat-ayat tersebut, Islam membawa keadilan dalam hubungan lelaki-wanita dan menamatkan amalan-amalan memudaratkan yang timbul daripada pelbagai adat dan tradisi masyarakat-masyarakat sebelum kedatangan Islam. Satu contoh ialah situasi wanita dalam komuniti Arab sebelum kedatangan Islam. Masyarakat Arab pagan melihat wanita sebagai golongan yang rendah, dan mempunyai anak perempuan adalah sesuatu yang memalukan. Bapa-bapa yang mempunyai anak perempuan lebih sanggup menanam mereka hidup-hidup daripada mengumumkan kelahirannya. Melalui Al-Quran, Allah menegah tradisi jahat ini dan mengingatkan bahawa golongan sedemikian pasti akan diminta bertanggungjawab atas tindakan mereka pada Hari Pengadilan.
Hakikatnya, Islam membawa bersamanya emansipasi yang besar untuk wanita, golongan yang teruk dianiayai dalam era pagan. Profesor Bernard Lewis, dikenali sebagai antara pakar terhebat Barat berkenaan sejarah Islam dan Timur Tengah, membuat komentar berikut:
Secara umumnya, ketibaan Islam telah membawa satu pembaikan yang besar terhadap posisi wanita dalam masyarakat Arab purba, merahmati mereka dengan harta benda dan hak-hak lainnya, serta memberi satu cara perlindungan daripada penganiayaan para suami dan pemilik mereka. Pembunuhan bayi-bayi perempuan, yang diluluskan dalam adat masyarakat pagan Arab, telah diharamkan oleh Islam. Namun kedudukan wanita masih rendah, dan menjadi lebih teruk apabila, dalam hal ini dan banyak perkara lainnya, ajaran sebenar Islam hilang rangsangannya dan telah diubahsuai mengikut pengaruh gaya dan adat yang wujud sebelumkedatangan Islam. 1
Karen Armstrong, seorang lagi pakar Barat tentang Islam, memberi kenyataan berikut:
Kita harus ingat suasana hidup wanita semasa zaman pra-Islam di mana pembunuhan bayi perempuan merupakan satu kebiasaan dan wanita langsung tidak mempunyai hak. Seperti hamba, wanita dilayan sebagai satu spesis bawahan yang tidak mempunyai cara hidup yang sah. Dalam dunia kuno sedemikian, apa yang dicapai oleh Muhammad untuk wanita adalah sesuatu yang luar biasa. Gagasan bahawa seseorang wanita boleh menjadi saksi atau boleh mewarisi apa sahaja berlandaskan haknya adalah amat menakjubkan. 2
Hakikatnya, semasa beberapa kurun selepas Nabi Muhammad, wanita dalam masyarakat Islam memiliki kedudukan sosial yang lebih tinggi berbanding dengan golongan wanita Kristian. Karen Armstrong menegaskan bahawa semasa Zaman Pertengahan:
... golongan Muslim terperanjat melihat cara masyarakat Kristian di Barat melayan golongan wanita mereka dalam wilayah-wilayah Salibiah, dan para sarjana Kristian mengecam Islam kerana memberi terlalu banyak kuasa kepada golongan bawahan seperti hamba dan wanita. 3
Anna King, seorang wanita Muslim moden dan seorang mualaf - atau, lebih baik dikatakan, seorang yang kembali kepada asal - kepada Islam, menerangkan emansipasi wanita dari perspektif Islamik sebagai berikut:
Islamlah yang mula-mula memberi hak-hak wanita di saat mereka sekadar harta milikan lelaki. Islam memberi wanita hak untuk membeli dan menjual sendiri, memiliki perniagaan dan menyatakan pandangannya secara politik. Semua ini merupakan hak-hak asas yang tidak diberikan kepada wanita Amerika sehingga baru-baru ini! İa juga menggalakkan wanita untuk mengkaji dan mempelajari pengetahuan Islam, membuka sekatan yang disyaratkan oleh sesetengah agama, yang melarang wanita untuk mendapat sebarang ilmu keagamaan atau menyentuh kitab-kitab agama. Islam juga telah membasmi amalan mengahwini wanita secara paksa. Maka, seseorang itu tentunya seorang yang keras kepala untuk menolak fakta dan bukti nyata sedemikian bahawa Islam merupakan pembebas wanita pertama.
Kecenderungan untuk melihat wanita sebagai "satu spesis bawahan" yang tidak mempunyai hak untuk pendidikan dan perlu dipencilkan daripada masyarakat muncul beberapa lama kemudian dalam dunia Islam akibat penyimpangan daripada jalan Quranik sebenar.
KESIMPULAN
Justeru itu dapat kita katakan bahawa pemikiran yang menghina wanita, menyisihkan mereka daripada kelompok masyarakat dan menganggap mereka sebagai warga kelas kedua merupakan satu sikap keji pagan yang tidak mempunyai tempat dalam Islam.
Hakikatnya, wanita yang taat dipilih sebagai teladan bagi manusia di dalam Al-Quran. Satu daripadanya ialah Maryam, ibu kepada Yesus Kristus sendiri. Seorang lagi ialah isteri kepada Firaun Mesir yang, meskipun suaminya seorang yang zalim, juga dinyatakan sebagai seorang Muslimah yang ideal. (Surah At-Tahrim, ayat 11-12) Al-Quran juga merakamkan beberapa perbualan di antara Nabi Sulaiman dan Puteri Saba’ (Surah An-Naml, ayat 42-44), dan di antara Nabi Musa dengan dua orang gadis (Surah Al-Qasas, ayat 23-26), yang melambangkan hubungan sosial penuh tamadun di antara kedua-dua jantina.
Justeru itu, adalah mustahil untuk seorang Muslim mempunyai pendekatan yang sempit terhadap wanita. Di dalam satu masyarakat di mana nilai moral Islam sebenar diamalkan, rasa hormat dan simpati yang tinggi akan ditunjukkan terhadap wanita, dan akan dipastikan mereka dapat hidup dalam kebebasan dan keselesaan.
Aturan asas dalam takwil Quranik adalah memastikan bahawa makna yang dipilih bersesuaian dengan integriti Al-Quran. Apabila perkara ini diberi perhatian, didapati bahawa semua aturan berkenaan wanita yang diberitakan oleh Allah kepada kita membentuk satu struktur sosial yang membenarkan mereka hidup dalam cara yang paling selesa dan gembira. Dalam satu masyarakat di mana semua nilai moral yang diajar oleh Islam diamalkan secara menyeluruh, kedudukan sosial wanita menjadi lebih mulia berbanding dengan banyak masyarakat pada masa kini yang kita anggap moden.
(1) Bernard Lewis, The Middle East, Weidenfeld & Nicolson, London, 1995, hal. 210
(2) Karen Armstrong, Muhammad A Biography of The Prophet, Harper Collins Publisher, USA, 1992, hal.191
(3) Karen Armstrong, Muhammad A Biography of The Prophet, Harper Collins Publisher, USA, 1992, hal.199