SEPERTI Ramadan yang lalu, puasa pada 2017 - Hijrah 1438, memberi peluang kepada umat Islam untuk terus berusaha memperkuatkan silaturahim dalam kalangan mereka.
Sudah jadi kebiasaan bagi keluarga, jiran tetangga, rakan dan saudara berbuka puasa bersama sebelum menunaikan solat tarawih seterusnya bersahur mendekatkan diri kepada Allah SWT dan pada masa sama bersatu hati umpama satu keluarga.
Namun, Ramadan juga akan diingati sebagai satu detik yang muram kerana ada dalam kalangan umatnya membunuh saudara sendiri apabila orang tidak berdosa terkorban kerana letupan bom. Hari ini, sembilan daripada setiap 10 orang Islam yang maut di zon perang disebabkan tembakan saudaranya atau terkorban kerana bom yang digugurkan seorang Muslim lain.
Jadi, Muslim adalah kumpulan masyarakat paling terkesan akibat daripada perang saudara, perebutan kuasa dan serangan pengganas. Tidak cukup dengan keadaan itu, situasi ini semakin buruk sekurang-kurangnya dalam tempoh 10 Ramadan lalu. Kecuali langkah berjaga-jaga diambil, kita akan terus lihat penderitaan mangsa baharu dalam tempoh terdekat sambil kita berdoa kepada Allah SWT supaya tidak berlaku.
Bertempur sesama sendiri
Jika kita meneliti keadaan dunia Islam secara keseluruhannya, kebenaran ini menjadi semakin jelas. Contohnya, pada Ramadan ini, puak Syiah dan Sunnah di Yaman bertempur dengan sahabat sendiri, jiran dan kenalan, sedangkan mereka pernah menunaikan solat dan berpuasa bersama.
Masyarakat Sunnah dan Syiah di kota Baghdad, Mosul dan Karbala yang tinggal dalam suasana damai tidak lama dahulu sama-sama berbuka puasa dan bersahur, kini menjadi musuh ketat. Bagi sebahagian umat Islam di Bangladesh, Ramadan kali ini berlalu sambil menunggu untuk dihukum mati di penjara serta memperingati mereka yang sudah menjalani hukuman.
Mereka akan berbuka puasa dengan kesedaran bahawa waktu untuk mereka menjalani hukuman juga semakin dekat. Di wilayah Rakhine, Myanmar; Republik Afrika Tengah, Somalia, Sudan dan Chad, umat Islam melalui satu lagi Ramadan dalam keadaan bergolak. Tiada sepatah perkataan pun yang dapat menggambarkan keadaan dihadapi mereka di Syria dan Libya pada Ramadan kali ini.
Ramai dalam kalangan saudara Islam kita di negara itu tidak ada makanan mahupun air untuk berbuka dan bersahur. Solat mereka diganggu dengan bunyi tembakan senjata api, masjid tempat beribadat sehari sebelumnya mungkin sudah musnah ketika ini.
Pelarian bertarung nyawa
Pada Ramadan kali ini juga, pelarian akan sekali lagi bertarung nyawa ketika lari dari Syria, Afghanistan, Libya dan Iraq. Ketika cuba menyelamatkan diri daripada maut di negara sendiri, mereka boleh terkorban ketika dalam perjalanan ke tempat selamat atau di laut sementara pelarian di khemah pelarian di Jordan dan Lubnan hanya cuba untuk terus hidup dengan bantuan yang diterima.
Turki yang mengambil tanggungjawab paling berat menerima kemasukan pelarian Syria, meskipun dengan bantuan pertubuhan bukan kerajaan dan berusaha sehabis baik untuk membantu pelarian mengharungi Ramadan dalam keadaan terbaik, masih sukar mengatakan sama ada usaha itu mencukupi.
Berjuta-juta orang Islam masih menunggu bantuan daripada saudara seagama di negara tempat mereka berlindung selepas meninggalkan keluarga, saudara, rakan, sekolah dan aset. Malang sekali, perasaan bersaudara nampaknya dilupakan ketika ramai yang terbabit dalam agenda politik dan berebut kepentingan masing-masing.
Ini belum ambil kira tindakan memutuskan hubungan diplomatik oleh Bahrain, Arab Saudi, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu serta Maldives ke atas Qatar disusuli serangan terbaru yang berlaku di Iran.
Bantu saudara seagama
Yang menjadi faktanya ialah semua umat Islam wajib membantu saudara seagama, wanita, kanak-kanak, orang tua dan yang sakit serta uzur yang memerlukan bantuan. Bagaimanapun, ada dalam kalangan umat Islam hanya tahu menyalahkan Barat atas apa yang berlaku.
Mungkin mereka mahu Barat menunjukkan jalan keluar. Bagaimanapun, jika umat Islam dari seluruh dunia bersatu, dunia Islam akan mendapat kuasa luar biasa selain kuasa dalaman. Tidak syak lagi, kegagalan dunia Islam hari ini menyelesaikan masalah sendiri, sedangkan dahulu mereka yang memimpin, sukar diterima umat Islam yang berniat baik.
Perlu diingat bahawa umat Islam wajib melindungi saudara seagamanya. Sejarah Islam banyak menceritakan mengenai mereka yang memberi tempat berteduh kepada pelarian dan berkongsi makanan. Nabi SAW turut menasihati bahawa jangan tidur selagi jiran kita kelaparan.
Seperti yang ditakrif sebagai nilai moral daripada al-Quran, kita perlu mengutamakan saudara seagama daripada diri sendiri. Bantu mereka yang lemah dan selamatkan mereka yang ditindas. Sudah menjadi satu doa bagi semua umat Islam supaya segera bersatu dan saling menyokong ke arah mencipta semangat solidariti dunia Islam.
Berita Harian: