Daripada temu ramah langsung Encik Adnan Oktar di Çay TV dan Kahramanmaraş Aksu TV pada 28 Januari 2010
ADNAN OKTAR: Namun manusia gagal memahami keduniaan ini dengan baik. Itulah sebabnya mereka membiarkan diri mereka terperdaya dengan keduniaan. Misalannya seorang Muslim berfikir untuk mengahwinkan anak perempuannya dengan seorang lelaki kaya. Baginya, ianya sudah mencukupi jika lelaki tersebut hanya menunaikan solat Jumaat beberapa kali, biarpun jika dia sekadar bersembahyang di hari raya sahaja. Saya melihat amalan ini bahkan di dalam keluarga yang paling warak sekalipun. Orang tua memberitahu anak perempuannya bahawa dia sesuai bersama sekalipun lelaki tersebut langsung tidak mempunyai agama. Kekayaan amat penting bagi mereka. Kamu lambat-laun akan dapat menerimanya, kata mereka, dan selebihnya tidak penting. Selagi dia sempurna dari segi fizikal, mempunyai wang serta aset, itu sudah mencukupi. Anda lihat wanita-wanita muda yang selama ini berbakti kepada Islam dan agamanya, kini telah menjadi suri rumah. Mereka mengabaikan segala aktiviti, tidak berhubungan dengan semua rakan, serta berhenti daripada pekerjaan mereka. Apabila ditanya mereka hanya bercerita soal tanggungjawab keluarga dan bahawasanya mereka telah berumah tangga. Mereka merasa bahawa diri mereka betul. Mereka secara tidak langsung membina satu asas logik untuk tidak mempedulikan Islam. Tetapi perkara ini telah digariskan secara khusus di dalam Al-Quran. Allah berfirman: "Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, ..." Dalam erti kata lain, "jika kamu lebih menyukai semua itu berbanding berjuang di jalan Allah, maka tunggulah," firman Allah. "..., maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya." firman-Nya. Lalu kemudiannya mereka sedar bahawa kehidupan di dunia amat singkat. Seorang gadis muda berumur 20 tahun akan meningkat dewasa menjadi wanita berumur 40-an dalam sela masa beberapa tahun. Tangan dan wajah mereka mula berkedut, kemudian putus haid lalu menjadi lemah. Tidakkah begitu? Kemudian mula diserang penyakit, kanser dan ulser, banyak perkara lainnya, lalu mereka sedar betapa singkatnya kehidupan. Namun mereka masih tidak mengendahkannya kerana telah terikut-ikut dengan kebanyakan masyarakat yang lalai. Firman Allah di dalam Al-Quran yang membawa maksud begini, "Jika kamu mengikuti kebanyakan mereka di dunia, sesungguhnya mereka akan menyesatkan kamu dari Jalan Allah." Seseorang itu perlu terikat dengan ajaran Al-Quran, bukannya masyarakat. "Jika kamu mengikut kebanyakan mereka di dunia, …” Allah tidak menerima ini. Ayat di dalam Al-Quran sangat jelas. Sekalipun telah berumahtangga, mereka masih bertanya tentang cita-cita orang lain dan anak-anak mereka. Jawapannya seringkali ingin mempunyai karier atau apa sahaja. Namun semua ini adalah tidak berkaitan. Apa yang perlu dilakukan oleh seseorang ialah menyerah sepenuhnya kepada Allah dan menghargai alam menakjubkan di dunia ini. Kerana kita semua berada di dalam satu persekitaran yang luar biasa. Kita tidak berada di sini hanya untuk meneruskan zuriat, menikmati kehidupan dan mengumpul harta duniawi. Jika mereka mempunyai harta yang bertimbun-timbun sekalipun, jangka masa sedekad berlalu seperti hanya setahun. Anda mendapat hasilnya dalam waktu yang amat singkat. Contohnya, jika kita bertanya kepada wanita berumur 40 yang melihat kita sekarang, mereka ini adalah pemudi-pemudi terdahulu. Dengan kata lain, mereka rasa tiba-tiba telah mencapai umur 40 tahun. Zaman remaja mereka hanyalah seperti hari kelmarin bagi golongan yang berumur 60 tahun. Mereka seolah-olah tidak percaya sudah mencapai umur tua dalam masa yang singkat. Namun golongan muda menyangka mereka akan hidup untuk masa yang lama. Tetapi itu bukan persoalannya. Mereka akan melihat ini. Semuanya akan sampai ke penghujung dengan pantas. Kanser, ulser dan penyakit hati akan dialaminya. Mereka bergelut untuk pulih daripada semua penyakit tersebut di hospital. Umur di antara 40 dan 50 tahun adalah masa di mana penyakit kanser, ulser dan penyakit hati lainnya kerap berlaku. Kemudian tibalah fasa kematian untuk manusia. Lalu mereka cuba menghindari kematian, tidak mahu mati. Mereka cuba meneruskan hidup dengan pelbagai rawatan dan ubatan. Maksud saya, jika diikutkan mereka akan mati, tetapi mereka sedaya upaya menentang kematian. Mereka cuba untuk hidup dengan cara sedemikian. Inilah yang ditegaskan Allah, bukan kerana Dia memerlukan sebarang penegasan, tetapi saya sekadar mengutarakan agar orang memahaminya. Terdapat sesuatu yang menarik untuk difikirkan di sini. Allah berfirman bahawa Dia menghantar manusia ke bumi untuk diuji dan menjadi khalifah-Nya. Namun mereka berdegil dan tidak mahu memahami. Maksud saya, apalah yang ada di dunia ini? Mereka bersusah-payah mencari makanan untuk dimakan dan kemudiannya mengalami penyakit hasil daripada makanan tersebut. Tidakkah mereka perlu membersihkan diri setiap hari? Mereka perlu menjaga diri sendiri saban waktu. Seorang wanita akan berada dalam keadaan yang teruk jika tidak menjaga penampilan dirinya. Begitu juga dengan lelaki. Bukankah mereka menghabiskan waktu selama 8 jam sehari untuk tidur? Hampir separuh daripadanya, bukan? Mereka menghabiskan masa 8 jam untuk tidur dan 8 jam untuk bekerja.
OKTAR BABUNA: Mereka juga memperuntukkan masa untuk menjaga diri.
ADNAN OKTAR: Ya, kemudian selebihnya mereka luangkan untuk makan dan seumpamanya, mandi dan berehat. Tiada masa yang cukup sepanjang hari. Meskipun mereka menjalani kehidupan itu seadanya. Malahan mereka banyak makan sambil berdiri. Misalannya, mereka membeli roti dan memakannya seolah-olah tidak mempunyai masa. Dalam semua kesibukan ini, ramai orang yang hanya mengejar duniawi. Seolah-olah mereka akan mendapat sesuatu yang sangat hebat dari dunia ini. Namun dunia ini tidak mempunyai apa-apa di dalamnya. Perkara terbaik tentang dunia ini ialah mencintai Allah, mengabdikan diri kepada-Nya, menyukai perintah-Nya dan juga yang diajar oleh Al-Quran. Berpegang kepada perintah Allah adalah sesuatu yang menggembirakan. Adalah sangat menyenangkan jika tiada konsesi terhadap agama. Berpegang teguh pada ajaran Al-Quran adalah sesuatu yang menggembirakan. Ia mempunyai perasaan dan keseronokan yang tersendiri. Ia adalah satu nikmat khas yang hanya dirasai oleh golongan beriman. Mencintai Allah dengan sepenuh iman merupakan satu kenikmatan yang indah, dan kita mencintai manusia kerana Allah. Mencintai Allah dengan sepenuh taat merupakan satu rahmat yang istimewa, dan kita menyayangi manusia atas sebab Allah, dengan sepenuh hati apabila Dia dikasihi seluruhnya. Kita mencintai mereka supaya kita mengingati Allah. Mereka kemudiannya akan menghasilkan satu kesan yang kuat dan dalam di dalam diri kita. Jika tidak, tiada apa yang istimewa tentang manusia. Ia hanyalah sekadar gumpalan daging, terbentuk daripada protein, tulang-belulang, usus, hati, limpa dan semua yang lainnya. Kita mencintai mereka kerana Allah. Ini disebabkan mereka adalah jelmaan Allah. Kerana Allah menjelmakan diri-Nya dalam bentuk manusia di dalam otak kita, dan itulah caranya bagaimana kita mengenali-Nya. Kita menyayangi manusia kerana kita mencintai Allah. Jika tidak, manusia tidak akan mempunyai apa-apa makna buat kita. Tiada apa di dunia ini yang bermakna untuk kita. Lautan dan pergunungan akan menggerunkan kita. Bahkan orang lain juga menakutkan kita. Seseorang akan mencari tempat bersembunyi apabila dia melihat orang lain. Dengan kata lain, mereka tidak bererti buat kita. Kasih dan perasaan sebegini terlalu dalam di dalam jiwa kita kerana mencintai Allah. Kerana keindahan Allah tiada taranya dan telah memberi kita jiwa untuk kasih sayang abadi. Apabila perasaan itu sudah dirasai, apabila seseorang menjadi seorang yang beriman, dia akan menginginkan syurga sepenuh hati. Dia mencintai pepohonan Syurga sepenuhnya, tumbuhan, manusia, anak-anak dan perempuan serta seluruh isi Firdausi. Itulah sebabnya dia gembira dalam beragama. Namun jika anda meletakkan golongan ingkar ke dalam Syurga, dia akan merasa bosan. Kebesaran Firdausi tidak memberi apa-apa makna kepadanya. Penghuni Syurga akan membuatnya tidak selesa. Kegembiraan hanya dapat dikecapi dengan keimanan.