logo
HARUN YAHYA
MAUT: SATU PERMULAAN
ucgen

MAUT: SATU PERMULAAN

1790

Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan. (Surah al-Anbiyaa': ayat 35)

Kematian, yang pasti akan berlaku pada kita semua, merupakan satu hakikat penting dalam kehidupan seseorang. Kita tidak akan pernah tahu perkara yang akan dihadapi dalam masa sejam atau kejadian akan datang. Justeru, jelas bahawa merancang kehidupan berlandaskan perkara yang tidak akan berlaku adalah satu kesilapan. Kematian, dalam erti kata lain, merupakan satu hal yang pasti. Hanya dengan menyedari asas kebenaran ini dapat membuat kita faham agar menuntun kehidupan berlandaskan perkara hal ini. Kematian juga sebahagian daripada ujian ke atas manusia. Allah SWT juga memberitahu kita di dalam Al-Quran bahawa Dia mencipta kematian dan kehidupan untuk menguji manusia:

Dia-lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat). (Surah al-Mulk: ayat 2)

Kematian hanyalah pengakhiran dunia yang fana – sekaligus berakhirnya cubaan – dan permulaan kehidupan baru. Oleh sebab itu, orang yang beriman tidak takut akan kematian. Soal kematian tidak membuat mereka tertekan, kerana setiap detik kehidupan mereka diluangkan untuk kebaikan sebagai bekalan di Alam Akhirat.

Namun bagi mereka yang ingkar, ketakutan yang menyelubungi hati mereka menimbulkan tekanan, kerana menganggap maut sebagai satu kemusnahan. Justeru, mereka tidak mahu memikirkan kematian dan tidak membenarkan hal tersebut memasuki minda serta cuba lari daripada maut. Namun ianya tidak berguna. Tiada roh yang dapat mengelak kematian apabila tiba waktu yang telah ditentukan. Perkara ini ditegaskan sebagai berikut:

Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. (Surah an-Nisaa’: ayat 78)

Mengelak untuk mengingati maut bermakna menolak kebenaran. Memandangkan ajal manusia tetap akan sampai tidak kira cepat atau lambat, adalah lebih bijak untuk seseorang mengingati maut. Inilah rasional yang dipegang oleh golongan beriman. Sementara menanti ajal, mereka melakukan kebaikan, sebagaimana yang diperintahkan Allah SWT kepada kita di dalam Al-Quran:

Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu (perkara yang tetap) yakin. (Surah al-Hijr: ayat 99)

Mengingati maut dapat meneguhkan semangat dan keyakinan seseorang. Ia menghalang nafsu seseorang daripada menjerumuskannya ke lembah dosa, dengan godaan palsu dunia yang fana. Ia menyemai resolusi dan keazaman untuk menghindari segala bentuk kelakuan yang tidak disukai Allah SWT. Justeru itu, orang yang beriman harus sentiasa mengingati maut, tidak lupa bahawa semua manusia, termasuk dirinya sendiri, akan mati pada suatu hari nanti.

Melalui Al-Quran, kita faham perkara sebenar yang berlaku kepada seseorang yang meninggal dunia, serta kejadian yang dialami dan dirasakan. Semasa kita melihat orang yang meninggal dunia, kita hanya memerhati "kematian biologi." Namun pada hakikatnya, orang yang menghadapi kematian sedang menghadapi Malaikat Maut dalam satu dimensi lain. Jika dia seorang yang ingkar, maut adalah satu seksaan buatnya. Setelah mencabut nyawanya, Malaikat Maut akan memukul dan menyeksanya. Trauma golongan yang ingkar dijelaskan seperti berikut:

… . Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dalam penderitaan "sakratul-maut" (ketika hendak putus nyawa), sedang malaikat-malaikat pula menghulurkan tangan mereka (memukul dan menyeksa orang-orang itu) sambil berkata (dengan menengking dan mengejek): "Keluarkanlah nyawa kamu (dari tubuh kamu sendiri); pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang menghina (kamu) sehina-hinanya, disebabkan apa yang telah kamu katakan terhadap Allah dengan tidak benar, dan kamu pula (menolak dengan) sombong takbur akan ayat-ayat keteranganNya". (Surah al-An'am: ayat 93)

(Kalaulah mereka terlepas sekarang dari bencana kejahatan mereka) maka bagaimanakah (mereka dapat menolak azab seksa) apabila malaikat mengambil nyawa mereka sambil memukul muka dan punggung mereka? (Kematian mereka dalam keadaan yang buruk) itu, kerana mereka menurut (serta melakukan) perkara-perkara yang menyebabkan kemurkaan Allah, dan mereka pula membenci perkara-perkara yang diredhaiNya; oleh itu, Allah gugurkan amal-amal mereka (yang baik, yang pernah mereka lakukan). (Surah Muhammad: ayat 27-28)

Kematian menjanjikan kesenangan dan keseronokan untuk mereka yang beriman. Bertentangan dengan golongan ingkar yang rohnya dicabut dengan kasar, roh golongan beriman pula diambil secara lembut (Surah an-Naazi'at: ayat 2). Pengalaman ini sama dengan pengembaraan roh semasa kita terlena, yang meninggakan jasad dan memasuki dimensi lain (Surah az-Zumar: ayat 42). Dalam suatu ayat, perkara berikut dinyatakan tentang golongan beriman:

(Untuk mereka) Syurga-syurga " Adn ", yang mereka akan memasukinya, yang mengalir padanya beberapa sungai; mereka beroleh di dalam Syurga itu apa yang mereka kehendaki; demikianlah Allah membalas orang-orang yang bertaqwa, (Iaitu) mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka bersih suci (dari kufur syirik dan maksiat), sambil malaikat itu berkata kepada mereka: "Selamat sejahtera kepada kamu; masuklah ke dalam Syurga disebabkan amal baik yang telah kamu kerjakan". (Surah an-Nahl: ayat 31-32)

 

KONGSI
logo
logo
logo
logo
logo
Muat turun