Perang saudara yang sedang berlaku di Syria, mencetuskan krisis pelarian global hingga disifatkan sebagai tragedi kemanusiaan terburuk, lebih teruk lagi daripada keadaan selepas Perang Dunia Kedua. Turki ketika ini menjadi tempat berlindung kepada 3.5 juta warga Syria yang lari dari zon konflik untuk menyelamatkan diri.
Kumpulan pelarian awal menuntut perlindungan Turki bermula dengan kedatangan 250 hingga 300 warga Syria pada 29 April 2011. Perlindungan kepada hak pelarian termaktub dalam Konvensyen Geneva 1951 dan Protokol Konvensyen Geneva 1967. Oleh kerana Turki sebagai negara anggota konvensyen berkenaan, dari segi teknikal, ia sepatutnya menerima pelarian negara Eropah sahaja.
Untuk memberikan status pelarian kepada mereka yang datang dari negara lain, ia perlu membuat keputusan secara bersama dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Pelarian (UNHCR) sebelum menghantar mereka ke negara ketiga.
Disebabkan perkara itu juga, Turki menggunakan takrif ‘tetamu’ kepada pelarian dari Syria kerana takrifan itu tidak dinyatakan dalam undang-undang antarabangsa. Berdasarkan kepada data yang diberikan oleh Lembaga Pengurusan Bencana dan Kecemasan Kementerian Utama Republik Turki (AFAD), perbelanjaan secara keseluruhan ke atas pelarian terbabit oleh Kerajaan Turki, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam ialah AS$25 bilion (RM106.8 bilion).
Pelarian juga bawa rahmat ke Turki
Sudah menjadi kewajipan sesama manusia untuk membantu mereka yang lari, menyelamatkan diri daripada krisis di tanah air dan meminta bantuan.
Mereka yang datang juga membawa kelebihan masing-masing. Kami melihat mereka sebagai membawa rahmat dan semuanya dialu-alukan untuk tinggal di Turki.
Malah, mereka patut diberi kewarganegaraan Turki untuk menikmati hak penjagaan kesihatan, pendidikan, pekerjaan dan lainlain lagi.
Sekali pun mengambil kira keadaan rapuh pelarian dari segi fizikal dan mental, masih ada dalam kalangan warga Turki tidak gembira dengan kehadiran warga Syria itu.
Mereka tidak meletakkan keadaan itu berdasarkan kepada perikemanusiaan tetapi atas aspek ekonomi dan sosial yang terhasil dengan kehadiran pelarian itu. Sikap warga Turki itu adalah tidak wajar, terutama memandang serong pelarian terbabit.
Perkara utama perlu dilakukan ialah berkongsi simpati dengan mereka yang menderita akibat perang kerana kehilangan ahli keluarga.
Keadaan yang mereka hadapi umpama keadaan terlepas daripada harimau, masuk mulut buaya, jika pelarian itu didesak sesetengah pihak pulang ke Syria. Jika perkara sama berlaku di Turki dan warganegara kami terpaksa lari ke negara lain untuk menyelamatkan diri, bagaimanakah mereka mahu dilayan negara yang beri perlindungan?
Tidak tunjuk perasaan benci kepada mangsa konflik
Oleh itu, warga Turki sepatutnya menunjukkan sikap mengikut pandangan itu. Seseorang yang prihatin dan berperikemanusiaan tidak akan menunjukkan perasaan benci ke atas mangsa konflik tidak kira agama, bangsa dan dari negara mana.
Berbeza dengan pandangan negatif pihak tertentu mengenai isu pelarian, ada analisis yang menunjukkan kehadiran pelarian Syria memberi kesan positif ke atas pertumbuhan ekonomi kerana perbelanjaan dan aktiviti kepenggunaan meningkat berikutan pertambahan penduduk.
Mengikut TOBB (Kesatuan Dewan Perniagaan dan Pasaran Komoditi Turki), bilangan syarikat yang dibentuk di Turki dengan sekurang-kurangnya satu rakan niaga Syria mencapai hampir 6,000 pada akhir 2016.
Bilangan warga dari Syria juga meliputi 33.7 peratus daripada syarikat baru tubuh dengan rakan niaga asing dalam tempoh Januari hingga Julai 2017, menurut laporan TOBB.
Memang diketahui umum bahawa pelarian Syria yang cuba menyesuaikan diri dengan tempat baharu menghadapi kesukaran. Datang ke tempat yang mana bahasa dan budaya adalah berbeza bukan suatu yang mudah. Jadi, sebagai warganegara, semua orang bertanggungjawab menyokong dan membantu mereka menyertai masyarakat tempatan sebagai sebahagian ahli keluarga kerana mereka kini sebahagian kami. Turki milik kami semua, termasuk tetamu dari Syria.
Terima pelarian dengan cara paling sesuai
Turki adalah sebuah negara meliputi pendatang yang menjadi majoriti kerana penghijrahan dipaksa sejak era Uthmaniyah hinggalah ke hari ini.
Kami juga percaya pelarian Syria akan menjadi sebahagian negara ini dengan bantuan rakyat yang prihatin.
Untuk mencapai matlamat ini, adalah baik untuk merangka program integrasi seperti kelas mengajar bahasa Turki, syarahan pendidikan dalam seni dan sains selain program pendidikan vokasional untuk memudahkan mereka mencari pekerjaan.
Justeru, dengan sokongan kerajaan, rakyat dan NGO boleh mengadakan mesyuarat membantu dari segi sosial warga Turki dengan pelarian Syria selain persidangan bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai konflik Syria, termasuk impak psikologi bagi menerima kedatangan mereka dengan cara paling sesuai.
http://www.yayasanmuslimin.org/eiktisad/beritadet.php?arid=398