Tahukah anda bahawa 700,000 tahun dahulu, manusia melayari lautan dengan binaan kapal yang bagus?
Atau pernahkah anda mendengar manusia yang digelar sebagai ‘orang gua primitif’ memiliki kemahiran artistik dan pemahaman sebagaimana yang dipunyai oleh artis moden?
Adakah anda tahu bahawa Neanderthal yang hidup sejak 80,000 tahun dulu dan digambarkan oleh para evolusionis sebagai ‘manusia beruk’, juga mampu membuat alatan muzik, memperoleh keselesaan dari pakaian dan aksesori, dan berjalan di atas pasir panas beralaskan sandal?
Dalam segala kemungkinan anda mungkin tidak pernah mendengar fakta-fakta berkenaan. Sebaliknya, anda telah diberi tafsiran salah bahawa manusia tersebut adalah separuh manusia dan separuh beruk, tidak mampu berdiri lurus, kurang kemahiran untuk berkomunikasi dan hanya mengeluarkan bunyi dengusan yang pelik. Ini kerana dalam masa lebih daripada 150 tahun, kebanyakan orang seperti anda telah dihujani oleh keseluruhan penipuan ini.
Tujuannya adalah untuk meneruskan perjuangan falsafah materialis yang menafikan kewujudan Allah SWT. Menurut perspektif yang menyeleweng ini, alam semesta dan kebendaan adalah abadi. Dengan erti kata lain, ia tiada permulaan, dan juga tiada Pencipta. Asas yang kononnya saintifik untuk kepercayaan karut ini adalah teori evolusi.
Oleh kerana mereka mendakwa bahawa alam semesta tiada Pencipta, para evolusionis harus memberi penjelasan tentang bagaimana kehidupan dan sejumlah spesis lain wujud di bumi ini. Untuk tujuan itu, mereka menggunakan teori evolusi. Berdasarkan teori ini, semua kejadian dan kehidupan di alam semesta berlaku secara kebetulan. Sebahagian benda tidak bernyawa di zaman purbakala bercantum secara tidak sengaja lalu membentuk sel hidup pertama. Kemudian organisma terwujud hasil daripada ketidaksengajaan selama jutaan tahun ini. Dan akhirnya manusia wujud sebagai peringkat terakhir rantaian evolusi.
Sejarah awal manusia – yang dianggap hasil daripada perubahan secara kebetulan selama jutaan tahun, dan setiap satunya lebih mustahil daripada perubahan terakhir, telah diselewengkan untuk menyokong senario songsang ini. Evolusionis, yang sememangnya ketiadaan bukti-bukti kukuh, mendakwa bahawa asal sejarah manusia adalah seperti berikut: Bermula seperti bentuk kehidupan lain, berlangsung daripada organisma purba hingga kepada manusia yang dipercayai perkembangan paling maju berbanding yang lain. Oleh itu, sejarah manusia kononnya berkembang daripada komuniti primitif kepada masyarakat bandar yang moden. Hakikatnya, anggapan ini sama sekali tidak mempunyai sebarang bukti. Ia juga menggambarkan sejarah manusia seperti yang didakwa oleh falsafah materialis dan teori evolusi.
Para saintis evolusionis — dalam usaha mereka untuk menyokong proses evolusi yang dianggap bermula daripada sel tunggal kepada organisma berbilang sel, kemudian daripada beruk kepada manusia – bukan saja telah ‘menulis’ semula asal-usul manusia, bahkan juga ‘mencipta’ era khayalan seperti ‘Zaman Orang Batu’ dan ‘Zaman Batu’ untuk menjelaskan cara hidup ‘Orang Primitif’. Evolusionis, yang percaya pada kepalsuan bahawa manusia dan beruk berasal daripada moyang yang sama, telah memulakan usaha dalam kajian baru demi membuktikan dakwaannya. Untuk itu, mereka meneliti setiap batu, atau mata panah, atau mangkuk yang ditemui semasa penggalian arkeologi. Walau bagaimanapun, gambaran ‘manusia beruk’ duduk di dalam gua yang gelap sambil berpakaian berbulu serta tidak mampu bercakap dengan baik, semuanya adalah rekaan semata-mata. Orang primitif tidak pernah wujud, begitu juga dengan Zaman Batu. Semuanya adalah pembohongan evolusionis dengan sebahagian bantuan media.
Dakwaan para evolusionis telah diruntuhkan sepenuhnya oleh perkembangan terbaru dalam bidang sains – terutamanya dalam ilmu biologi, paleontologi, mikrobiologi, dan genetik. Pendapat bahawa masing-masing spesis berubah menjadi ‘versi terbaru’, telah dibuktikan salah.
Manusia juga tidak berkembang daripada makhluk beruk. Manusia sememangnya adalah manusia sejak kewujudan mereka lagi, dan mempunyai peradaban canggih sehingga ke hari ini. Maka, ‘evolusi sejarah’ juga tidak pernah terjadi.
Peradaban Mundur dan Berkembang Serentak
Darwinisme tetap berpendapat bahawa manusia dan juga budaya yang dimiliki berkembang daripada peringkat asas, primitif, bangsa dan menuju ketamadunan. Walau bagaimanapun, penemuan arkeologi menunjukkan bahawa sejak permulaan sejarah manusia, telah ada titik-titik di mana masyarakat yang bertamadun hidup bersama dengan komuniti yang mundur. Hakikatnya, pada kebanyakan masa, masyarakat yang kaya dengan budaya telah wujud bersamaan dengan mereka yang terkebelakang. Sepanjang sejarah, kebanyakan masyarakat di zaman yang sama mempunyai tahap teknologi dan peradaban yang berlainan, dengan perbezaan sosial dan budaya – seperti mana juga hari ini. Misalannya, walaupun benua Amerika Utara kini maju dalam bidang perubatan, sains, senibina dan teknologi, sesetengah komuniti di Amerika Selatan agak mundur dari segi teknologi dan tiada rangkaian ke dunia luar. Pelbagai penyakit di kebanyakan bahagian di dunia dikenal pasti melalui teknik pengimejan dan analisis yang amat maju, dan dirawat di hospital-hospital moden. Tetapi di sebahagian dunia yang lain, kebanyakan penyakit dianggap berkembang di bawah pengaruh semangat jahat, dan penyembuhan melibatkan pelbagai upacara untuk membuang roh-roh tersebut.
Masyarakat seperti bangsa Indus, Mesir purba dan Sumeria yang hidup di sekitar 3,000 SM, mempunyai budaya yang secara relatifnya lebih baik dalam segala aspek berbanding dengan bangsa-bangsa hari ini, malahan juga lebih daripada masyarakat yang kini lebih maju. Ini bermakna bahawa sepanjang sejarah, masyarakat dengan peradaban tinggi telah hidup bersama dengan komuniti yang kurang berbudaya. Masyarakat yang wujud ribuan tahun dahulu sebenarnya mungkin jauh lebih maju daripada manusia di abad ke-20. Ini menunjukkan bahawa tiada sebarang perkembangan dalam rangka proses evolusi – dengan erti kata lain, daripada primitif kepada bertamadun.
Sepanjang perjalanan sejarah, pastinya banyak kemajuan penting telah dibuat dalam semua bidang, dengan langkah dan pembangunan hebat dalam sains dan teknologi, syukur pada perkembangan budaya dan pengalaman. Walau bagaimanapun, adalah tidak rasional dan saintifik untuk mengatakan bahawa perubahan tersebut merupakan proses evolusi seperti mana yang digambarkan oleh evolusionis dan materialis. Oleh kerana tiada perbezaan ciri-ciri fizikal antara manusia kini dengan mereka yang hidup ribuan tahun dulu, maka tiada juga perbezaan dari segi kecerdikan dan kemampuan. Pandangan yang menggambarkan bahawa tamadun kini lebih maju kerana kapasiti otak dan kepintaran manusia di abad ke-21 lebih berkembang adalah perspektif yang salah, hasil daripada propaganda evolusionis. Hakikatnya, memang terdapat perbezaan tanggapan dan budaya di antara masyarakat yang hidup di wilayah-wilayah yang berlainan. Tetapi jika orang asli di Australia tidak mempunyai ilmu yang setanding dengan saintis Amerika, itu tidak bermakna yang otaknya belum cukup berkembang. Ramai orang yang dilahirkan di dalam masyarakat sedemikian mungkin belum tahu tentang kewujudan elektrik, tetapi masih mempunyai tahap kepintaran yang tinggi.
Tambahan pula, keperluan berbeza muncul pada kurun yang berlainan. Tahap fesyen kita pada hari ini tidak sama dengan masyarakat Mesir purba, tetapi tidak bererti budaya kita lebih maju daripada mereka. Sementara bangunan pencakar langit melambangkan ketamadunan abad ke-21, bukti peradaban di zaman mereka ialah piramid dan sphinx.
Persoalannya terletak pada perspektif dari mana fakta-fakta ditafsirkan. Seseorang yang bermula dengan pra-anggapan yang menyokong perkembangan evolusi akan menilai semua maklumat yang diterima berlandaskan prejudis tersebut. Maka dia akan berusaha untuk mempertahankan kenyataannya dengan cerita-cerita dongeng. Dengan hanya berdasarkan pecahan telulang fosil, dia akan mengagak banyak perincian, seperti bagaimana manusia yang hidup di kawasan itu menjalani kehidupan seharian mereka, struktur keluarga dan hubungan sosial mereka, sejajar dengan andaian awal berkenaan. Dia kemudiannya akan menyimpulkan, berdasarkan hasil penemuan tersebut, bahawa mereka tidak mampu berdiri tegak dan mendengus, diselaputi bulu dan menggunakan alatan batuan yang kasar — bukan kerana ia dinyatakan oleh bukti saintifik, tetapi ideologinya yang memerlukan semua khayalan itu. Sebenarnya, fakta-fakta yang dijumpai langsung tidak menunjukkan sebarang keadaan sedemikian. Gambaran itu hanyalah pemahaman yang terhasil daripada mentaliti para pejuang Darwinisme.
Ramai evolusionis yang cuba membuktikan dakwaan mereka dengan menghasilkan pelbagai senario, meskipun tidak mempunyai sebarang bukti sokongan. Namun apabila setiap penemuan terbaru ditafsir tanpa sebarang prejudis, ia akan menjelaskan kepada mereka beberapa fakta, satu daripadanya ialah: Manusia adalah Manusia sejak asal kewujudannya lagi. Ciri-ciri seperti kecerdasan dan keupayaan artistik tetap sama di sepanjang lipatan sejarah. Manusia yang hidup di masa lampau bukan primitif, separuh manusa, separuh haiwan, sebagaimana yang diwar-warkan oleh golongan evolusionis. Mereka berfikir, bercakap bahasa manusia, seperti kita, yang menghasilkan kerja seni dan membangunkan struktur budaya dan etnik. (Untuk maklumat lanjut, sila lihat Zaman Batu: Satu Pembohongan Sejaraholeh Harun Yahya)
Untuk membeli siri buku tulisan Harun Yahya, sila lawati www.bookglobal.net