Oktar, yang lebih dikenali dengan nama pena Harun Yahya, adalah pemimpin spiritual Turki yang berpengaruh, penulis, dan pembentuk pendapat yang telah menulis 300 judul buku dan diterjemahkan ke dalam 73 bahasa, dibaca berjuta-juta orang sehingga mempunyai pengaruh besar terhadap orang Islam dan bukan Islam di seluruh dunia.
Beliau disegani dan tersenarai sebagai ‘The 500 Most Influential Muslims’ dalam membentuk pendapat yang paling menonjol dan berpengaruh dalam dunia TurkiIslam.
Beliau terkenal dengan bukunya ‘Atlas of Creation’ yang pernah dibincangkan di Majlis Eropah (EC) dan untuk beberapa tahun kebelakangan ini, beliau menjadi tumpuan media serta Parlimen negara-negara Eropah.
Laman sesawang Harun Yahya mempunyai 20 juta pengunjung bulanan dari 167 negara.
Terdapat 7.5 bilion penduduk bumi ini dan wanita merangkumi lebih separuh daripada jumlah itu.
Mereka bukan sekadar statistik.
Mereka adalah orang yang kita sayangi — ibu, isteri, nenek, saudara perempuan dan rakanrakan.
Bilangan lelaki yang tidak menyayangi wanita adalah sangat sedikit sehingga mereka boleh dikira dengan jari.
Namun wanita, yang merupakan salah satu aspek paling indah dalam kehidupan kita, hidup di bawah penindasan yang berterusan.
Ada kalanya mereka menderita kerana penghinaan tanpa sebab dan tidak dihormati sedangkan mereka sepatutnya dilayan dengan penuh kasih sayang dan ehsan.
Dalam sesetengah kelompok, peraturan-peraturan masyarakat dan tekanan rakan sebaya selalu menguasai dan menentukan cara hidup wanita.
Kebanyakan suami, bapa, adik-beradik, saudara-mara, rakan sekerja dan guru kepada wanita berkenaan menganggap tindakan itu sebagai kewajipan untuk mengawal kebebasan mereka.
Berbilion wanita dianggap berpotensi menjadi pendosa pada bila-bila masa dan diperlakukan sebagai makhluk yang perlu diletakkan di bawah kawalan yang berterusan.
Ini adalah penyakit yang telah merebak dan melanda seluruh dunia.
Sama ada pihak yang menguatkuasakan sistem penindasan itu tinggal di Timur atau Barat, seorang beragama atau tidak beragama, saintis atau orang buta huruf, lazimnya tidak mengubah hakikat itu.
Masyarakat timur adalah yang pertama menerjah fikiran apabila menyebut perihal penindasan wanita, dan kalangan anti-agama, terutamanya, cuba menunjukan peraturan kemasyarakatan yang menggalakkan penindasan wanita sebagai sebahagian daripada Islam.
Bagaimanapun, malapetaka ini sebenarnya bukanlah dibawa oleh Islam, tetapi oleh konsep keagamaan khayalan.
IDEOLOGI KEJAM
Sifat misoginistik (amat membenci wanita) yang kononnya merupakan struktur keagamaan ini adalah pemikiran taksub yang sama sekali bertentangan dengan nilai-nilai asas dalam Islam.
Hakikat sebaliknya, wanita dipuji dan dipandang tinggi dalam Al-Quran.
Allah memerintahkan agar sentiasa melayan wanita dengan kasih sayang dan rasa hormat.
Masalah ini juga boleh dilihat dalam masyarakat Barat di bawah ideologi yang berbeza.
Darwinisme, salah satu ideologi asas yang mendasari kebudayaan Barat menganggap bahawa wanita, berbanding dengan lelaki, adalah bentuk kehidupan yang belum melengkapkan proses evolusinya.
Malah Charles Darwin, pengasas teori evolusi, adalah misoginis (pembenci wanita) klasik.
Dalam bukunya yang bertajuk ‘The Descent of Man’, Darwin menulis, “Secara amnya mengakui bahawa pada wanita kekuatan gerak hati, persepsi yang pantas, dan mungkin meniru-niru, adalah lebih ketara daripada lelaki; tetapi sesetengahnya, atau sekurangkurangnya, adalah ciri-ciri kaum yang lebih rendah, oleh itu ia adalah daripada tamadun lampau dan rendah.”*
Fasisme dan komunisme, yang berinspirasikan Darwinisme, juga muncul sebagai ideologi misoginistik.
Ketika Nazi Jerman, peraturan yang ditetapkan adalah tidak lebih daripada 10 peratus perempuan dibenarkan lulus sekolah menengah.
Pada 1929, terdapat 39 institusi pendidikan sosialis kebangsaan tetapi hanya dua daripadanya untuk perempuan.
Menurut Nazi, kewajiban wanita adalah untuk dihamilkan di ladang pembiakan oleh lelaki muda Jerman yang tidak pernah mereka kenal seumur hidup dan melahirkan bangsa Aryan baharu.
Tidak lama selepas revolusi Bolshevik, satu undang-undang menetapkan bahawa semua wanita berusia antara 17 dan 32 tahun adalah hak negara.
Walaupun sepatutnya bebas daripada belenggu suami kerana undang-undang itu, wanitawanita ini di sebaliknya dipaksa bekerja di lombong dan kilang dalam keadaan paling teruk.
Di mata Komunisme, wanita hanyalah kumpulan tenaga kerja baharu.
Adalah jauh lebih baik jika dikatakan bahawa masyarakat Barat moden adalah satu langkah lebih ke hadapan berbanding pelopor mereka yang seabad usianya.
Kapitalisme telah meletakkan wanita pada tahap lebih rendah sebagai satu komoditi yang boleh dijual beli.
Negara-negara terbabit lebih kerap, daripada tidak, menggalakkan, bahkan membenarkan, perdagangan dahsyat ini.
Namun, dalam masyarakat Barat, wanita masih berjuang menuntut hak kewarganegaraan yang sama.
Di kebanyakan negara, wanita baru diberi hak untuk mengundi iaitu bermula 70-80 tahun lalu.
Hanya satu daripada lima anggota Kongres Amerika adalah wanita.
NILAI KEWANITAAN
Tempat kerja terus kekal dengan amalan seksis terhadap wanita.
Dalam satu kecaman seksis, seorang ahli Parlimen Eropah dari Poland tidak lama dahulu mempertikaikan bahawa pendapatan wanita sepatutnya kurang daripada lelaki kerana mereka lemah dan kurang bijak.
Hari ini, media sosial, Internet, permainan video, akhbar, majalah, siri TV, filem dan buku, sebahagian besarnya menjadi platform untuk mendiskriminasi wanita.
Bukan sahaja di kalangan masyarakat Timur, malah di dunia Barat, ramai wanita terkorban di tangan suami mereka setiap tahun.
Daripada 40 peratus kes femisid (pembunuhan kaum wanita dengan sengaja oleh lelaki atas dasar gender) di seluruh dunia, pembunuhan itu dilakukan sama ada oleh suami, tunang atau teman lelaki.
Di EU, satu daripada setiap lima wanita menjadi mangsa keganasan suaminya.
Di Kanada, satu daripada setiap dua wanita menjadi mangsa kekerasan fizikal atau penderaan seksual sekurangkurangnya sekali selepas usia 16 tahun.
Setiap tahun, kira-kira lima juta wanita di seluruh dunia menjadi mangsa penderaan dan kekejaman rumah tangga oleh suami mereka.
Satu perlima daripada wanitawanita yang tertindas ini harus menerima rawatan akibat penderaan yang dialami.
Di Amerika Syarikat, pada 2006 sahaja, jumlah wanita yang menjadi mangsa rogol atau penderaan seksual adalah 240,000.
Seperti yang dapat dilihat dengan jelas, apabila berkaitan dengan misogini, seluruh dunia, Barat dan Timur, memperlihatkan ciri-ciri serupa yang sangat kejam.
Tahap penindasan sedemikian meruncing menyebabkan kehidupan wanita berkenaan menjadi suram, melemahkan semangat dan menghalang mereka menikmati kebahagiaan hidup.
Wanita yang tertekan, menjadi enggan untuk kelihatan cantik dan menarik.
Dunia semakin kekurangan kecantikan feminin.
Dunia juga secara umum telah kehilangan kebijaksanaan, produktiviti, ketekunan dan kebolehan wanita yang berfikiran tajam.
Segala kelebihan ini telah dirampas daripada kehidupan akibat penindasan misoginistik.
Selagi wanita, yang menghiasi semesta ini tidak bahagia dan bebas, dunia akan selamanya tidak lengkap.
Kualiti, seni dan estetika tidak akan maju.
Salah satu kuasa paling penting yang boleh menamatkan keganasan dan mewujudkan budaya kedamaian di Bumi adalah kasih sayang terhadap wanita.
Apabila wanita menjadi lebih cantik, mereka akan mencantikkan dunia seiring dengan diri mereka.
Apabila lebih banyak yang menunjukkan rasa hormat terhadap wanita, dunia akan menjadi lebih selesa didiami.
Rujukan * John R. Durant, The Ascent of Nature in Darwin’s Descent of Man” in The Darwinian Heritage, Ed. by David Kohn, Princeton, NJ: Princeton University Press, 1985, p. 295.
http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1388910
http://www.bacalahmalaysia.com/2017/09/07/minda-wanita-bukan-sekadar-statistik/