"Saya menaiki bot kerana saya tidak mempunyai tempat lain untuk pergi. Saya tidak mempunyai rumah atau apa-apa yang tinggal. Rakhine telah membunuh ibu saya dan saudara saya. Orang-orang di kampung itu berkata, mereka akan ke Malaysia, jadi saya membuat keputusan untuk mengikuti mereka. "
Petikan ini adalah dari seorang wanita di dalam bot yang padat dengan orang yang kelaparan di Laut Andaman. Kata-kata beliau adalah jelas, mendedahkan kesengsaraan yang tidak mampu diterima akal seseorang. Keadaan itu adalah, dalam ertikata yang lain, "ngeri", sesuatu yang tiada seorang pun sanggup melihat atau alaminya sendiri.
Ia adalah sebuah bot di mana tiada seorang pun yang sanggup menghabiskan hayatnya di situ. Ia adalah jenis tragedi kemanusiaan dengan yang telah mencabar fitrah insani.
Wanita ini adalah salah satu daripada golongan minoriti yang telah dinafikan kewarganegaraan dan hak mengundi oleh negara di mana generasi keluarganya telah tinggal di situ selama berabad tahun lamanya. Selain dinafikan hak, mereka telah bertahun dianiaya oleh rejim yang menafikan hak, menghapuskan kebebasan, dan paling utama, maruah sebagai manusia yang sepatutnya dinikmati oleh semua insan di dunia ini.
Jika anda seorang yang tidak berminat akan berita dunia, sekarang anda mungkin akan mula mengenali mereka ini, Muslim Rohingya. Semasa Perang Dunia Kedua, masyarakat Islam ini berjuang bersama tentera British menentang Jepun, menjadikan mereka masyarakat yang paling dibenci di Myanmar. Kini cucu mereka - wanita, anak-anak kecil, laki-laki dan orang tua - terpaksa memulakan perjalanan hidup yang mengerikan untuk mencari tanah air sendiri. Berbeza dengan mana-mana pelayaran yang kita sedia maklum di dunia bebas-konflik ini, mereka ini tidak mempunyai bagasi, tiada makanan atau air, dan dalam kebanyakan kes, mereka langsung tiada pakaian untuk menutup aurat.
Bayangkan diri anda terkandas di tengah-tengah di mana anda dalam keadaan terdesak tanpa rakan-rakan atau saudara-mara di negara asal anda. Amat sukar untuk dibayangkan walaupun hanya dalam mimpi ngeri !
Justeru itu, setelah tidak mempunyai hak dalam apa jua bentuk dan yang lebih utama, tiada harapan masa depan di tanah air sendiri, maka sebagai pilihan terakhir, mereka menaiki bot usang, mengambil risiko dengan maut.
Dengan kapal terdampar bebas di laut dan terdedah dengan ancaman penyeludup manusia dan angkatan laut, pengalaman pahit yang mereka lalui amat sukar ditandingi sesiapa. Bot mereka lebih sesuai digelar "keranda terapung", amat tepat dengan keadaan dahsyat mereka.
Menurut PBB, umat Islam Rohingya merupakan salah satu daripada "minoriti paling ditindas" di dunia. Kini situasi menjadi semakin kejam berikutan pendirian negara-negara ASEAN yang berjiran-sempadan dengan Laut Andaman. Bangladesh, Myanmar, Thailand, Malaysia dan Indonesia enggan menerima mereka yang hanyut ke negara mereka sebagai pelarian. Tentera laut mereka hanya menyediakan beberapa peruntukan makanan dan air, kemudian dihalau semula ke lautan luas.
Kini media seluruh dunia telah mula membuka berita buat golongan naif ini, masyarakat antarabangsa mula celik tentang kewujudan umat Islam Rohingya dan keadaan terdesak mereka. Namun usaha negara-negara lain, yang sepatutnya sama-sama berkongsi semangat kemanusiaan, masih sangat lemah, malah tahap kesedaran yang diperlukan masih kurang.
Setelah berminggu tidak menerima ribuan pendatang yang terkandas di laut, akhirnya Indonesia dan Malaysia menawarkan tempat tinggal sementara - walaupun agak keberatan - seolah-olah penyelesaian menemui jalan buntu. Namun krisis ini telah menunjukkan sesuatu yang jauh lebih penting; bahawa ini bukan sekadar isu krisis terpencil yang dialami oleh golongan minoriti di seluruh dunia, tetapi isu ini lebih menyentuh kepada krisis kemanusiaan.
Tragedi bot Rohingya adalah titik hitam bagi kemanusiaan. Ia merupakan kejatuhan hak asasi manusia. Ia adalah manifestasi daripada kebankrapan moral hati manusia dan seharusnya dihayati dan difikirkan bersama jika kita ingin membina sebuah dunia di mana setiap anak kecil mempunyai ruang untuk kebebasan bersama sepertimana yang kita mahukan untuk anak-anak kita.
Mengenai isu Muslim Rohingya ini, kebimbangan negara-negara jiran tentang penjagaan pelarian dapat diatasi dengan mudah. Malaysia, Indonesia, Thailand adalah sebuah negara yang mempunyai tanah luas dan kawasan pantai. Pelarian boleh didedahkan dengan gaya hidup di mana mereka boleh menyara hidup mereka sendiri dengan aktiviti perikanan, pertanian atau penternakan tanpa menjejaskan negara. Pendirian seperti itu lebih berperikemanusiaan, dan amat diperlukan di saat getir seperti ini.
Ini adalah krisis yang mendedahkan bagaimana hanya segelintir nyawa dinilai dan dihargai sedangkan yang lain diabaikan sama sekali. Manusia, tidak kira kaum, bangsa, agama, etnik atau suku mereka berasal, adalah elemen penting dunia ini. Semua aktiviti komersial, politik, industri, dan seni dilakukan di dunia ini kerana manusia. Sebab mengapa dunia ini wujud dan mengapa ia dibuat adalah 'manusia'. Jadi setiap insan perlu mempunyai hak dan kebebasan mereka sebagai manusia. Sekiranya perspektif ini diteliti dan digunapakai oleh mana-mana ahli politik atau pemimpin, isu moral yang terjejas akan berjaya dibersihkan, berserta jalan penyelesaian yang menyeluruh.