Di dalam bukunya yang berjudul Natürliche Schöpfungsgeschichte (Sejarah Penciptaan Semulajadi) yang diterbitkan pada tahun 1868, Ernst Haeckel menyatakan bahawa beliau telah melakukan banyak perbandingan menggunakan embrio manusia, monyet dan anjing. Gambaran yang beliau hasilkan merangkumi embrio yang hampir sama. Berdasarkan lukisan tersebut, Haeckel menganggap bahawa bentuk makhluk hidup berkenaan memiliki asal-usul yang sama.
Tetapi hakikatnya amat berbeza. Haeckel telah menghasilkan satu lukisan embrio, lalu menggambar embrio manusia, monyet dan anjing dengan melakukan sedikit pengubahsuaian pada lukisan awal. Dalam erti kata lain, perkara tersebut hanyalah satu pembohongan.
Penipuan yang didakwa sebagai “karya saintifik” inilah yang menjadi rujukan Darwin dalam bukunya yang berjudul The Descent of Man. Sebenarnya, sebahagian orang menyedari bahawa ilustrasi Haeckel adalah satu penyelewengan bahkan sebelum Darwin menulis buku tersebut. Berikutan pendedahan penipuan ini, Haeckel sendiri mengakui pembohongan saintifik yang dilakukannya:
Selepas pengakuan ‘penipuan’ ini, saya terpaksa menganggap diri saya terkutuk dan binasa seandainya tiada kesempatan untuk melihat ratusan orang di dok tahanan – pesalah, ramai di antara mereka merupakan pemerhati paling diyakini dan ahli biologi paling dihargai. Sebilangan besar gambaran yang ada dalam buku teks, penulisan dan jurnal biologi terbaik, turut akan mengundang tuduhan ‘pemalsuan’ yang setimpal, kerana kesemuanya tidak tepat, ditokok tambah atau dikurangi, diubah dan direka.[i]
Namun demi terus menegakkan dogma Darwinisme, terdapat satu keperluan untuk mengisytiharkan bahawa satu daripada cebisan bukti palsu mereka itu sememangnya “bukti evolusi”. Jenayah tersebut dan kesedaran para Darwinis tentangnya tidak begitu penting; perkara paling mustahak di mata para Darwinis adalah agar hal berkenaan terus ditanamkan sebagai bukti evolusi, meskipun ia berupa penipuan.
Meskipun pembohongannya telah didedahkan, namun Darwin dan ahli biologi lain yang menyokongnya tetap menganggap ilustrasi palsu Haeckel sebagai sumber rujukan. Hal ini meningkatkan semangat Haeckel. Pada tahun-tahun berikutnya, Haeckel membuat beberapa gambaran lanjut mengenai perbandingan embrio. Beliau menyediakan lukisan-lukisan embrio ikan, salamander, penyu, ayam, arnab dan manusia secara bersebelahan. Aspek yang perlu diberi perhatian adalah embrio pelbagai bentuk hidupan ini yang pada mulanya kelihatan hampir sama lalu secara perlahan-lahan berubah menjadi amat berbeza seiring dengan perkembangannya.
Sebenarnya persamaan di antara embrio manusia dan ikan amat menarik perhatian. Ini kerana "insang" rekaan dapat dilihat dalam lukisan embrio manusia sebagaimana yang terdapat dalam embrio ikan. Dengan memperalatkan sains, Haeckel mengetengahkan ilustrasi tersebut dan memperkenalkan "teori rekapitulasi": Ontologi Mengulangi Filogeni. Makna slogan ini; menurut Haeckel, setiap benda hidup yang melalui proses perkembangan dalam telur atau rahim ibu akan mengulangi "sejarah evolusi" spesisnya sejak awal lagi. Misalannya, embrio manusia dalam rahim ibu pada mulanya menyerupai ikan dan dalam beberapa minggu berikutnya menjadi salamander, reptilia dan mamalia, lalu akhirnya berubah menjadi seorang manusia.
Tetapi ini merupakan satu penipuan yang besar.
Dalam tahun 1990-an, seorang ahli embriologi British bernama Michael Richardson telah mengkaji embrio vertebrata menggunakan mikroskop dan memutuskan tiada persamaan dengan lukisan Haeckel. Richardson dan pasukannya turut menerbitkan gambar tulen embrio dalam jurnal Anatomy and Embryology keluaran Ogos 1997. Terbukti bahawa Haeckel telah mengambil pelbagai rekaan dan menyelewengkannya dalam pelbagai cara supaya embrio tersebut menyerupai satu sama lain. Haeckel menambah organ palsu pada embrio, mengeluarkan organ daripada yang lainnya dan memalsukan saiz embrio berlainan supaya kelihatan sama. Rekahan yang digambarkan Haeckel sebagai “insang” pada embrio manusia sebenarnya langsung tiada kaitan dengan insang. Ia adalah saluran tengah telinga dan permulaan kalenjar paratiroid dan timus. Bahkan kesemua embrio tersebut tidak sepadan di antara satu sama lain. Haeckel telah melakukan segala macam pemalsuan dalam ilustrasinya.
Satu artikel mengenai lukisan Haeckel yang sekian lama diperjuangkan sebagai bukti palsu evolusi, diterbitkan dalam majalah Science edisi 5 September 1997 berjudul “Haeckel’s Embryos: Fraud Rediscovered”, berikutan pendapat dunia saintifik yang mengakui terdapat satu penipuan. Artikel tersebut mengandungi baris berikut:
Haeckel bukan sahaja telah menambah atau mengurangi ciri-ciri, lapor Richardson dan rakannya, malah memalsukan skala demi menggembar-gemburkan persamaan di antara spesis sekalipun terdapat perbezaan 10 kali ganda. Haeckel turut mengaburi perbezaan tersebut dengan mengabaikan nama spesis dalam kebanyakan kes, seolah-olah satu wakil menepati gambaran kesemua haiwan. Richardson dan rakannya mendapati bahawa pada hakikatnya, embrio-embrio yang mempunyai pertalian dekat seperti embrio ikan juga memiliki sedikit kelainan dari sudut penampilan dan perkembangannya. "Ia (lukisan-lukisan Haeckel) kelihatan menjadi satu daripada pemalsuan terkenal dalam biologi,"[ii]
Pada bulan Mac 2000, seorang evolusionis yang juga ahli paleontologi dari Universiti Harvard bernama Stephen Jay Gould menyatakan bahawa beliau telah lama menyedari penipuan ini. Namun dia telah memilih untuk berdiam diri sebagaimana yang dikehendaki oleh sistem Dajjal.[iii] Apabila masyarakat umum telah menyedari pembohongan lukisan tersebut, Gould menyatakan bahawa ia adalah malapetaka akademik kerana ia masih digunakan dan berkata:
"Kita, menurut saya, berhak untuk terkejut dan malu dengan abad kitaran pemikiran yang tidak wajar yang telah membawa kepada ketekalan lukisan ini dalam jumlah besar, jika bukan majoriti, buku teks moden."[iv]
Pembohongan Haeckel terlalu nyata dan besar sehinggakan didakwa menipu oleh lima profesor lain dan didapati bersalah oleh mahkamah Universiti Jena.[v]
Sir Gavin de Beer, dari Natural History Museum Great Britain, menerangkan keaiban ini sebagai berikut:
Jarang tuntutan seperti ‘teori rekapitulasi’ Haeckel, tergesa-gesa, kemas, dan munasabah, diterima secara meluas tanpa pemeriksaan kritikal, melakukan kemudaratan yang begitu banyak kepada sains.[vi]
Ilustrasi-ilustrasi palsu Haeckel ini sebenarnya telah mencapai matlamat yang diingini oleh pendokong teori evolusi. Walaupun telah diisytiharkan palsu, ia tetap memberi kesan negatif kerana masih ramai orang yang menganggapnya benar. Walaupun telah dibuktikan salah secara saintifik, ia masih lagi mengubah pandangan umum mengenai manusia dan golongan yang melalui pendidikan di sekolah dalam cara yang salah. Pengasas Creation Research Society dan Institute of Creation Research iaitu Henry M. Morris menganalisi perkara ini sebagai berikut:
Semenjak Darwin – khususnya sejak Freud – ramai ahli psikologi telah menganggap bahawa orang cuma seekor haiwan yang berkembang dan telah menilai pelbagai masalah kelakuannya secara animalistik. Eksperimen terhadap monyet atau haiwan lain (malah serangga) dijadikan sebagai panduan dalam berurusan dengan masalah-masalah manusia ... Kesan buruk teori rekapitulasi (setelah lama disanggah secara saintifik) masih terus tumbuh dalam banyak bidang kehidupan masyarakat ...[vii]
Meskipun telah dianggap sebagai keaiban saintifik dan dikagumi oleh sesetengah evolusionis setelah diketengahkan sebagai bukti, namun cukup menghairankan kerana ilustrasi palsu Haeckel masih mendapat tempat dalam pelbagai buku teks. Keadaan ini menunjukkan skala sebenar pembohongan Darwinis. Jonathan Wells, seorang ahli biologi molekul dari University of California menerangkan keadaan itu:
Banyak buku teks menggunakan sedikit versi lakaran semula embrio Haeckel. Satu contoh ialah naskah Biology tulisan Peter Raven dan George Johnson keluaran 1999 yang mengiringi lukisan itu dengan keterangan berikut: "Perhatikan bahawa peringkat awal embrio vertebrata ini ada satu persamaan menarik di antara satu sama lain." Teks tersebut juga memberitahu pelajar: "Beberapa bukti anatomi terkuat yang mendokong evolusi datang dari perbandingan cara organisma berkembang. Dalam kebanyakan kes, sejarah evolusi sesuatu organisma dapat dilihat semasa perkembangannya, dengan embrio berkenaan mempamerkan karakteristik embrio moyangnya."
Contoh lainnya termasuklah karya Cecie Starr dan Ralph Taggart bertajuk Biology: the Unity and Diversity of Life keluaran tahun 1998, yang mengiringi lukisannya dengan kenyataan salah bahawa "embrio awal vertebrata amat menyerupai antara satu sama lain"; tulisan edisi terbaru James Gould dan William Keeton berjudul Biological Science, yang melaporkan: "Satu fakta embriologi yang membawa Darwin kepada idea evolusi adalah embrio awal kebanyakan vertebrata amat menyerupai satu sama lain"; dan buku teks Biology Burton Guttman terbitan 1999, yang mengiringi versi lakaran semula embrio Haeckel dengan kenyataan berikut: "Perkembangan embrio seekor binatang memegang petunjuk kepada bentuk moyangnya".[viii]
Hakikat bahawa ilustrasi palsu Haeckel masih digunakan dalam banyak buku teks biologi seolah-olah mereka mewakili bukti evolusi merupakan satu kesalahan berat. Walaupun palsu, ilustrasi ini sengaja dimasukkan ke dalam buku-buku teks. Sebab utamanya tidak syak lagi bahawa mereka melambangkan bukti palsu penting untuk gagasan Darwinisme, kepalsuan bahawa manusia adalah haiwan yang tidak bertanggungjawab. Jonathan Wells membuat komentar berikut mengenai pembohongan yang sengaja dikekalkan oleh saintis Darwinis:
Embrio Haeckel seolah-olah memberikan bukti kukuh untuk teori Darwin sehinggakan beberapa versi daripadanya didapati dalam hampir setiap buku teks moden yang berurusan dengan evolusi. Namun ahli biologi telah mengetahui selama lebih satu abad bahawa Haeckel memalsukan lukisannya; embrio vertebrata tidak pernah kelihatan sebagaimana yang beliau gambarkan. Tambahan pula, peringkat yang Haeckel labelkan sebagai "pertama" sebenarnya adalah peringkat pertengahan perkembangan; persamaan dia digembar-gemburkan oleh beliau telah didahului oleh perbezaan ketara di peringkat awal lagi. Walaupun anda mungkin tidak akan mengetahui hal ini melalui pembacaan buku-buku teks biologi, "sekumpulan fakta terkuat" Darwin adalah satu contoh klasik bagaimana bukti dapat diseleweng untuk memenuhi sesuatu teori.[ix]
Meskipun pendokong teori Darwin bergembira seketika kerana satu komplot diusulkan sebagai bukti teori sesat dan mempunyai kesan, ia sebenarnya menjadi mimpi ngeri mereka. Melalui lukisan Haeckel, masyarakat kini telah menyedari betapa besarnya pembohongan yang sanggup dilakukan oleh seorang saintis kanan atas nama Darwinisme. Sekali lagi terbukti bahawa Darwinisme sentiasa memerlukan "pembohongan". Rakyat jelas melihat cara evolusionis menutup mata terhadap kebohongan ini. Penipuan Haeckel merupakan satu lagi bukti penting yang meruntuhkan teori evolusi dan sistem Dajjal. Abad ke-20 mungkin telah mengetahui pemalsuan ini dalam diam, tetapi abad ke-21 telah membongkar penipuan ini dan pembohongan lainnya, di samping menunjukkan bukti saintifik yang asli. Semakin banyak penipuan dibongkar dan bukti saintifik yang lebih tulen dihasilkan, semakin nyata jugalah keruntuhan Darwinisme.
[i] Francis Hitching (1982), The Neck of the Giraffe: Where Darwin Went Wrong, New York: Ticknor and Fields. hal. 204.
[ii] Science, 5 September 1997, Elizabeth Pennisi
[iii] Ann Coulter, Godless The Church of Liberalism, Crown Forum Publishing, 2006, hal. 240
[iv] http://www.arn.org/docs/richards/jr_sciedreport.htm
[v] Hank Hanegraaff, Fatal Flaws "What Evolutionists Don't Want You To Know", W Publishing Group, 2003, hal. 70
[vi] Hank Hanegraaff, Fatal Flaws "What Evolutionists Don't Want You To Know", W Publishing Group, 2003, hal. 70
[vii] Henry M. Morris, The Long War Against God, Master Books, 2000, hal. 32
[viii] Jonathan Wells, Icons of Evolution, Regnery Publishing, Inc., hal. 103
[ix] Jonathan Wells, Icons of Evolution, Regnery Publishing, Inc., hal. 82, 83