Penganut Kristian hari ini beriman dengan Kitab Suci yang dikenali sebagai Perjanjian Baru. Banyak bahagian di dalam kitab ini yang mengajak manusia supaya beriman dan menyembah kepada Tuhan dalam cara yang paling taat dan menganjurkan prinsip-prinsip moral yang baik.
Dalam aspek ini, kebanyakan kandungan Perjanjian Baru bersepadanan dengan Al-Quran. Justeru, golongan Muslim dan Kristian mempunyai banyak persamaan fahaman dan yakin dengan nilai-nilai moral yang sama. Ini adalah satu hakikat yang melambangkan dasar untuk mengadakan persefahaman dan kerjasama di antara kedua-dua agama.
Namun, Allah juga berfirman di dalam Al-Quran bahawa dua ajaran asas di dalam Perjanjian Baru adalah salah.
Pertama ialah fahaman bahawa Yesus disalib sebagai satu ‘penebusan dosa’ untuk semua bangsa manusia.
Kedua, dakwaan bahawa Yesus ialah ‘anak Tuhan’. (Subhanallah. Maha Suci Allah daripada mempunyai anak.)
Satu hal yang menarik ialah kenyataan-kenyataan di dalam Injil berkenaan dua fahaman ini juga sebenarnya bertentangan.
Injil yang Empat
Perjanjian Baru mengandungi empat ‘injil’ berbeza yang menerangkan kehidupan dan tempoh perkhidmatan Yesus. Tiga daripadanya menceritakan tentang kehidupan dan tempoh pelayanan Yesus. Tiga injil pertama iaitu Injil Matius, Injil Markus, dan Injil Lukas sebahagian besarnya selari di antara satu dengan yang lain. Ianya kemudian digelar sebagai injil-injil ‘sinoptik’ dalam tradisi Kristian. (Perkataan ‘sinoptik’ bermakna "mengambil sudut pandang yang sama, dan menggambarkan pandangan tiga injil pertama”.) Meskipun disusun sebagai injil kedua dalam Perjanjian Lama, injil terawal ialah Injil Markus. Diakui bahawa Matius dan Lukas menjadikan Injil Markus sebagai rujukan ketika menulis injil mereka, dengan membuat sedikit penambahan terhadapnya.
Injil keempat ialah Injil Yohanes, dan ianya amat berlainan dengan injil-injil sinoptik. Sesetengah peristiwa yang digambarkan oleh Injil Yohanes tidak tercatat di dalam Injil Sinoptik, atau dituliskan dengan cara yang bertentangan. Tambahan pula, satu kejadian yang dicatatkan oleh Injil Yohanes amat bertentangan dengan caranya berlaku di dalam Injil Sinoptik.
Kenyataan Bertentangan Berkaitan Penyaliban
Sebagaimana yang telah kami nyatakan, telah termaktub dalam Al-Quran bahawa orang yang disalib bukanlah Yesus tetapi, dengan kekuasaan Allah, seseorang yang telah diserupakan dengan baginda dan Yesus diselamatkan dari perangkap tersebut.
Injil-injil Perjanjian Baru bertegas bahawa Yesus yang disalib. Walau bagaimanapun, dakwaan mereka tentang penyaliban amat bercanggahan di antara satu sama lain sehingga ke tahap yang besar berbanding dengan subjek lainnya.
Terdapat banyak perselisihan tentang perkara ini, terutamanya di antara injil-injil sinoptik dan injil Yohanes. Kisah yang bermula dengan Jamuan Terakhir Yesus dan para pengikutnya kemudian diikuti dengan penangkapan dan pembicaraannya merupakan subjek pertentangan yang agak besar di antara injil-injil tersebut. Mari kita kaji isi-isi utama pertentangan ini:
· Injil Sinoptik mendakwa bahawa adanya satu ‘majlis roti dan wain’ pada Jamuan Terakhir Yesus dan pengikutnya. Namun Yohanes tidak pernah menyebut perkara ini. Sebaliknya, beliau membuat satu dakwaan yang berbeza sama sekali yakni pengikut baginda membasuh kakinya sebagai tanda kasih dan hormat.
· Terdapat juga perselisihan serupa berkenaan dengan penangkapan Yesus oleh Rom. Menurut dakwaan di dalam injil-injil sinoptik, Yudas Iskariot mengkhianati Yesus dengan mendedahkannya kepada pihak Rom. Namun menurut Yohanes, Yesus sendiri menyerahkan dirinya. Jawapan yang diberi kepada Yudas oleh Yesus juga diterangkan secara berbeza: Menurut Matius, baginda berkata kepada Yudas, "Hai teman, untuk itukah engkau datang?",manakala menurut Yohanes tiada perbualan di antara mereka berdua.
· Terdapat juga perbezaan berkaitan perkara yang dilakukan oleh para murid selepas Yesus ditangkap. Menurut matius, kesemua mereka melarikan diri, dan hanya Petrus yang melihat Yesus dari kejauhan. Markus pula menyatakan dengan perincian yang pelik bahawa hanya "seorang lelaki muda berpakaian linen" menyaksikan Yesus, dan peristiwa dia ditangkap namun berjaya membebaskan diri dari pakaiannya lalu menyelamatkan diri. Sepertimana Matius, Lukas juga menulis bahawa hanya Petrus yang melihat Yesus. Sebaliknya Yohanes menulis bahawa Simon Petrus dan murid-murid lain mengikuti Yesus.
· Jawapan mengenai pihak yang menghakimi Yesus juga bertentangan. Injil Sinoptik menerangkan baginda diadili oleh Mahkamah Agung Yahudi (Sanhedrin). Manakala menurut Injil Yohanes, Yesus tidak dibicarakan oleh pihak Sanhedrin, tetapi oleh Caiaphas, paderi tertinggi pada masa itu, serta ayah mertuanya Annas.
· Pembicaraan Yesus oleh kepala Rom, Pontius Pilatus, juga diterangkan secara berlainan. Berdasarkan Injil Sinoptik, Yesus tidak menjawab dakwaan yang dibuat ke atasnya oleh Pilatus dan sekadar berkata "Begitulah yang tuan katakan," apabila ditanya sama ada dia Raja Yahudi. Namun sebaliknya, Injil Yohanes mengatakan bahawa Yesus memberi jawapan panjang lebar kepada Pilatus dalam satu kenyataan terperinci, "Pemerintahanku bukan dari dunia ini. …Pemerintahanku bukan dari sini!"
· Orang yang membawa salib juga tidak jelas. Injil Sinoptik menuliskan bahawa seorang yang bernama Simon dari Cyrene membawanya, manakala Yohanes mengatakan bahawa Yesus sendiri yang membawanya.
· Pencuri-pencuri yang disalib bersama Yesus juga digambarkan secara berbeza, sebagaimana yang berlaku dengan kata-kata terakhir Yesus.
· Injil-injil tersebut juga menerangkan masa penyaliban Yesus secara berlainan. Menurut injil sinoptik, penyaliban berlaku pada hari kedua Perayaan Paskah. Namun berdasarkan Injil Yohanes, ia berlaku sehari sebelum Paskah.
Jelaslah bahawa perselisihan ini mendedahkan satu gambaran menarik.
Ini kerana kebanyakan kejadian tersebut, yang merangkumi hari-hari terakhir kehidupan Yesus, daripada Jamuan Terakhir sehinggalah kepada penyaliban, menurut tradisi Kristian, berlaku di hadapan ratusan saksi. Dengan pengecualian terhadap Jamuan Terakhir yang hanya dihadiri oleh para pengikut Yesus, kejadian lain semestinya telah terjadi di hadapan ramai saksi. Menurut injil-injil tersebut, penangkapan Yesus berlaku di hadapan ratusan orang Rom dan Yahudi. Ia juga menyatakan bahawa penyaliban tersebut berlaku di Jerusalem, disaksikan oleh para penduduknya.
Jadi kenapa terdapat perselisihan ketara di antara dakwaan-dakwaan kisah ini yang berlaku di hadapan ramai saksi?
Jawapannya amat jelas: Sebab wujudnya perbezaan dalam dakwaan-dakwaan tentang penyaliban adalah kerana cerita tersebut berdasarkan kepada satu kekeliruan. Bukanlah Yesus yang disalib. Tuhan telah menyelamatkan Nabi yang dirahmati ini daripada rancangan untuk memerangkap baginda.
Yesus tidak wafat, tetapi berada di sisi Tuhan
Al-Quran mendedahkan bahawa golongan yang ingkar merancang satu plot untuk menamatkan riwayat Yesus. Namun demikian, mereka telah gagal, seperti yang diceritakan Al-Quran:
Orang-orang kafir itu membuat tipu daya, dan Allah membalas tipu daya mereka itu. Dan Allah sebaik-baik pembalas tipu daya.(Surah Al-‘Imran, 54)
Sebagaimana yang dinyatakan ayat tersebut, mereka merancang dan bertindak untuk membunuh Yesus. Namun demikian, rancangan mereka telah digagalkan dan akhirnya membunuh seseorang yang diserupakan seperti Yesus. Semasa kejadian ini, Tuhan mangangkat Yesus naik ke hadirat-Nya:
Dan kerana ucapan mereka: “Sesungguhnya kami telah membunuh Al-Masih, Isa putra Maryam, Rasul Allah”, padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak (pula) menyalibnya, tetapi (yang mereka bunuh ialah) orang yang diserupakan dengan Isa bagi mereka. Sesungguhnya orang-orang yang berselisih faham tentang (pembunuhan) Isa, benar-benar dalam keragu-raguan tentang yang dibunuh itu. Mereka tidak mempunyai keyakinan tentang siapa yang dibunuh itu, kecuali mengikuti persangkaan belaka, mereka tidak (pula) yakin bahawa yang mereka bunuh itu adalah Isa. (Surah An-Nisaa’: 157)
Peristiwa Yesus dinaikkan ke sisi Tuhan dijelaskan melalui ayat seterusnya:
Tetapi (yang sebenarnya), Allah telah mengangkat Isa kepada-Nya. Dan adalah Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (Surah An-Nisaa’: 158)
Hakikat yang diberitakan di dalam ayat ini amat jelas. Mereka yang cuba membunuh Yesus telah gagal. Ekspresi "tetapi orang yang diserupakan dengan Isa bagi mereka" mendedahkan kenyataan ini. Tuhan menunjukkan mereka orang yang diserupakan dan mengangkat Yesus ke hadirat-Nya. Tuhan kita juga mendedahkan bahawa mereka yang membuat dakwaan itu tidak mengetahui kebenaran.
Yesus tidak dibunuh
Hakikatnya, Al-Quran dan hadis baginda Rasulullah (s.a.w) dengan jelas menunjukkan bahawa Yesus masih hidup dan akan kembali ke Bumi pada Akhir Zaman.