Menurut rekod sejarah Judaisme, Kristianiti, dan Islam, Yesus merupakan utusan Tuhan yang terpilih dan dimuliakan di dunia juga di akhirat. Injil Matius menyatakan bahawa baginda dilahirkan sama ada semasa zaman pemerintahan Raja Herod I ataupun di masa perubahan rejim (4 BCE). Menurut Injil Lukas pula, baginda diperanakkan di zaman kerajaan Maharaja Agustus (27 BCE – 14 CE) apabila satu bancian dilaksanakan di Judea (6 CE). Maklumat sedemikian tidak dapat disahkan. Namun demikian, para pakar yang mengkaji pelbagai sumber sependapat bahawa Yesus dilahirkan sekitar 7-6 BCE.
Agama sebenar yang dibawakan oleh Yesus, rasul pilihan Tuhan, masih wujud pada hari ini. Namun ia sekadar pada nama sahaja kerana ianya telah dirosakkan. Begitu juga dengan wahyu yang diberikan Tuhan kepada Yesus yang wujud hanya pada nama dan pastinya bukan dalam bentuk yang asli, kerana kitab-kitab Kristian telah diubah dan ditukar. Oleh kerana kita tidak dapat memperoleh pengetahuan sebenar tentang Yesus dari sumber ini, kita beralih kepada satu-satunya sumber yang dapat menyediakan maklumat sebenar: Al-Quran, yang dijanjikan Tuhan untuk dipelihara sehingga ke Hari Akhir. Al-Quran banyak memberitahukan tentang kelahiran dan kehidupan Yesus, contoh-contoh pertemuan baginda dengan orang lain, keadaan mereka yang hidup di sekitarnya, dan banyak perkara lain. Ia juga memberikan banyak contoh usaha baginda dalam mengajak manusia kepada agama. Al-Quran mengisahkan perkataan Yesus yang berikut:
"Dan juga (aku datang kepada kamu ialah untuk) mengesahkan kebenaran Kitab Taurat yang diturunkan dahulu daripadaku, dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian (dari perkara-perkara) yang telah diharamkan kepada kamu; dan juga aku datang kepada kamu dengan membawa satu mukjizat dari Tuhan kamu. Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku. Sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, oleh itu, beribadatlah kamu kepadaNya. Inilah jalan yang lurus." (Surah Al-‘Imran: 50-51)
Hanya sedikit orang yang menyahut seruan dan menjadi pengikutnya. Al-Quran memberitahukan kewujudan pengikut-pengikut setia ini melalui ayat berikut:
Maka ketika Nabi Isa merasa (serta mengetahui dengan yakin) akan kekufuran dari mereka (kaum Yahudi), berkatalah ia:" Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)?". Orang-orang "Hawariyyuun" (Penyokong-penyokong Nabi Isa) berkata: "Kamilah penolong-penolong (utusan) Allah. Kami telah beriman kepada Allah, dan saksikanlah (wahai Nabi Allah) sesungguhnya kami ialah orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah).Wahai Tuhan kami! Kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan, dan kami mengikut RasulMu; oleh itu suratkanlah kami beserta orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui keesaanMu dan kebenaran RasulMu)." (Surah Al-‘Imran: 52-53)
Menurut Perjanjian Baru, Yesus mengembara ke semua sudut Palestin dengan 12 orang pengikutnya untuk mengajak manusia kembali kepada agama. Dalam perjalanan ini, Tuhan membenarkan baginda melakukan banyak mukjizat. Yesus menyembuhkan orang sakit dan lumpuh, mengubati pesakit kusta, menyembuhkan orang yang buta sejak lahir, dan menghidupkan orang mati. Al-Quran menyatakan mukjizat ini melalui ayat-ayat berikut:
"Sesungguhnya aku telah datang kepada kamu, dengan membawa satu tanda (mukjizat) dari tuhan kamu, iaitu aku boleh membuat untuk kamu dari tanah liat seperti bentuk burung, kemudian aku tiup padanya lalu menjadilah ia seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah; dan juga aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang sopak, dan aku boleh menghidupkan kembali orang-orang yang mati dengan izin Allah; dan juga aku boleh memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan di rumah kamu. Sesungguhnya perkara-perkara yang demikian itu, mengandungi satu tanda (mukjizat) bagi kamu (yang membuktikan kebenaran bahawa aku seorang Rasul yang diutus oleh Allah kepada kamu), jika kamu orang-orang yang (mahu) beriman." (Surah Al-‘Imran: 49)
(Ingatlah) ketika Allah berfirman: "Wahai Isa ibni Maryam! Kenanglah nikmatKu kepadamu dan kepada ibumu, ketika Aku menguatkanmu dengan Ruhul-Qudus (Jibril), iaitu engkau dapat berkata-kata dengan manusia (semasa engkau masih kecil) dalam buaian dan sesudah dewasa; dan (ingatlah) ketika Aku mengajarmu menulis membaca, dan hikmat pengetahuan, khasnya Kitab Taurat dan Kitab Injil; dan (ingatlah) ketika engkau jadikan dari tanah seperti bentuk burung dengan izinKu, kemudian engkau tiupkan padanya, lalu menjadilah ia seekor burung dengan izinku; dan (ingatlah ketika) engkau menyembuhkan orang buta dan orang sopak dengan izinku; dan (ingatlah) ketika engkau menghidupkan orang-orang yang mati dengan izinKu; dan (ingatlah) ketika Aku menghalangi Bani Israil daripada membunuhmu, ketika engkau datang kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan (mukjizat), lalu orang-orang yang kafir di antara mereka berkata: "Bahawa ini hanyalah sihir yang terang nyata.""(Surah Al-Ma’idah:110)
Yesus melakukan banyak mukjizat yang hebat, dan ramai orang yang tertarik dengannya. Walau bagaimanapun, Yesus sentiasa menegaskan bahawa semua keajaiban tersebut hanya berlaku dengan izin Tuhan dan, menurut Al-Kitab, Yesus selalu memberitahu kepada orang-orang yang dirawatnya: "Kepercayaanmu telah menyelamatkanmu." Sebagai tindak balas, manusia memuji Tuhan apabila mereka melihat mukjizat baginda:
Setelah meninggalkan daerah itu, Yesus menyusur pantai danau Galilea dan naik ke atas bukit lalu duduk di situ. Kemudian orang banyak berbondong-bondong datang kepadanya membawa orang lumpuh, orang timpang, orang buta, orang bisu dan banyak lagi yang lain, lalu meletakkan mereka pada kaki Yesus dan ia menyembuhkan mereka semuanya. Maka takjublah orang banyak itu melihat orang bisu berkata-kata, orang timpang sembuh, orang lumpuh berjalan, orang buta melihat, dan mereka memuliakan Allah Israel. (Matius 15:29-31)
Meskipun halangan semakin meningkat, namun bilangan golongan beriman juga bertambah, terutamanya di kalangan penduduk yang ditindas dan dizalimi. Pada waktu itu, Yesus dan pengikutnya menjelajah ke seluruh desa dan kota di wilayah berkenaan. Sementara itu, para pendeta dan penulis hukum mula merancang dan bersekongkol menentang Yesus yang telah menolak amalan tradisi yang mereka lakukan selama bertahun-tahun, mengingatkan tentang kesesatan yang telah mereka lakukan dan menyeru mereka menyembah Tuhan dan hidup hanya untuk-Nya. (Lukas 22:1-2, Yohanes 11:47-53)
Seperti nabi-nabi yang lain, Yesus menyeru agar umatnya mempercayai Tuhan, berserah diri kepada-Nya, hidup demi keredhaan-Nya, meninggalkan dosa dan kejahatan, serta melakukan kebaikan. Baginda mengingatkan mereka tentang kehidupan yang fana dan hampirnya kematian, serta memberitahu bahawa mereka akan dipertanggungjawabkan di atas segala perbuatan mereka di akhirat kelak. Yesus mengajak umatnya untuk menyembah hanya kepada Allah serta taat dan patuh kepada-Nya. Ak-Kitab juga banyak mengandungi nasihat dan bahan didikan (mashal) sedemikian. Menurut Perjanjian Baru, Yesus menasihatkan mereka yang "kurang percaya" (Matius 8:26), membawakan mereka khabar gembira bahawa "kerajaan Allah sudah dekat" (Markus 1:15) dan menyeru mereka mencari keampunan Tuhan. Pemerintahan sedemikian adalah kerajaan yang dinantikan oleh bangsa Yahudi apabila datangnya Mesiah, satu aturan yang akan menjernihkan semula agama dan penyelamatan mereka.
Yesus tetap berpegang kepada Hukum Musa (ajaran Taurat) dan mengingatkan umatnya agar tidak menyimpang daripada ajarannya atau melakukan amalan mereka yang penuh kepura-puraan. Menurut Perjanjian Baru, baginda memberitahu mereka: "Sebab jikalau kamu percaya kepada Musa, tentu kamu akan percaya juga kepadaku, sebab ia telah menulis tentang aku." (Yohanes 5:46). Yesus menyeru umatnya agar kembali kepada ajaran Taurat. Injil Matius merakamkan perintah baginda untuk menuruti Hukum Musa ("hukum suci"): Aku datang bukan untuk meniadakannya, melainkan untuk menggenapinya. (Matius 5:17)
Karena itu siapa yang meniadakan salah satu perintah hukum Taurat sekalipun yang paling kecil, dan mengajarkannya demikian kepada orang lain, ia akan menduduki tempat yang paling rendah di dalam Kerajaan Sorga; tetapi siapa yang melakukan dan mengajarkan segala perintah-perintah hukum Taurat, ia akan menduduki tempat yang tinggi di dalam Kerajaan Sorga. (Matius 5:19)
Al-Quran mengatakan seperti berikut tentang Yesus:
"Dan juga (aku datang kepada kamu ialah untuk) mengesahkan kebenaran Kitab Taurat yang diturunkan dahulu daripadaku, dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian (dari perkara-perkara) yang telah diharamkan kepada kamu; dan juga aku datang kepada kamu dengan membawa satu mukjizat dari Tuhan kamu. Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku." (Surah Al-‘Imran: 50-51)