TIDAK lama selepas penyanyi Audioslave and Sound garden, Chris Cornell, mengejutkan peminat apabila membunuh diri, industri muzik kehilangan seorang lagi bakat pada 21 Julai lalu, iaitu anggota Linkin Park, Chester Bennington, 41.
Dia maut akibat penagihan dadah dan kemurungan sejak bertahun-tahun lalu. Beliau meninggalkan seorang isteri dan enam anak.
Apa yang dikesali ialah kematian mereka bukannya tidak dijangkakan kerana wujud kes kematian akibat kemurungan yang turut babit mereka yang masih muda dalam industri itu.
Dalam tempoh beberapa dekad lalu, kes bunuh diri, dibunuh dan kematian yang tidak disengajakan semakin biasa dalam kalangan pemuzik.
Ia berlaku sejak Elvis Presley lagi hinggalah kepada Kurt Cobain, Jim Morrison dan Amy Winehouse apabila ramai pemuzik hebat meninggal sewaktu masih muda kerana gaya hidup tidak sihat mereka.
Malah, realitinya mengikut kajian Diana Kenny dari Universiti Sydney, menunjukkan bintang
rock hidup 25 tahun lebih pendek berbanding jangka hayat orang biasa, manakala kadar bunuh diri, dibunuh dan kematian tidak sengaja dalam kalangan mereka lebih tinggi.
Cuma, persoalannya ialah mengapa ini boleh berlaku? Sebahagian sebab diketahui ramai, iaitu gaya hidup glamor dilalui artis muda yang membawa kesan buruk kepada mereka.
Ia terutamanya apabila mereka tiba-tiba menjadi terkenal yang diikuti gaya hidup melampau termasuk penagihan arak dan dadah membawa padah.
Budaya kebencian hantui ramai artis
Pastinya tidak semua ahli muzik berakhir seperti itu tetapi terlalu ramai yang menjadi mangsa seperti itu.
Ini ditambah pula dengan budaya kebencian dan materialisme yang berleluasa hari ini serta menjejaskan pemikiran hingga menghantui ramai artis.
Mana-mana pengguna internet sudah pasti menemui banyak bahan menghasut kebencian, permusuhan dan perilaku ganas di alam siber.
Lebih dikesali, ada dalam kalangan pengguna alam siber yang menyerang sesama sendiri tanpa segan silu hanya kerana berbeza pemikiran dan penampilan.
Tetapi, bagi selebriti pula, keadaannya sama sekali berbeza. Mereka kerap diganggu, dihina, diancam dan dikritik media mahupun orang awam.
Lebih menyedihkan, mereka sukar mendapat rakan sekeliling yang boleh dipercayai dan disayangi.
Dalam keadaan sering dihentam dan terasing menyebabkan mereka terluka.
Akibatnya, ramai ahli muzik memilih ketagih arak dan dadah hingga memburukkan masalah. Semua ini juga tergambar dalam muzik mereka.
Menambahkan masalah ialah mereka menjadi pujaan jutaan peminat di seluruh dunia, kebiasaannya dan kebanyakannya golongan remaja yang mencetuskan perasaan antara resah, gelisah termasuk romantisme.
Semua ini memberi kesan buruk kepada jiwa pemuzik, terutama yang masih muda.
Ia juga adalah salah satu sebab meningkatnya kadar kemurungan, tekanan, kes juvana, salah guna dadah dan bunuh diri dalam kalangan remaja.
Dengar muzik sedih juga bahaya
Menurut satu hasil kajian, kadar bunuh diri dalam kalangan remaja meningkat sehingga 200 peratus antara 1962 dan 1982.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan, setiap tahun lebih 800,000 orang mati kerana membunuh diri dan golongan paling aktif meminati muzik berusia 15 hingga 29 tahun adalah yang paling ramai.
Tentunya ada banyak faktor penyebab kepada trend ini tetapi tidak dapat dinafikan bahawa budaya kemurungan dipromosi bintang rock tertentu main peranan penting.
Banyak kajian turut membuktikan bahawa mendengar muzik bernada sedih sebenarnya adalah berbahaya kepada mereka yang dalam keadaan tertekan dan murung.
Dalam satu lagi kajian, penyelidik menyuruh pesertanya mendengar muzik bernada ceria, agresif dan sedih. Mereka mendapati, orang yang mendengar muzik sedih mengalami tahap emosi dan tekanan lebih tinggi.
Bagaimanapun, trend tidak sihat ini boleh diubah dengan mudah bagi artis dan peminat mereka.
Percaya kepada cinta sejati
Jika artis dan industri muzik secara umumnya memahami dan percaya dengan cinta sejati dan keikhlasan, nilai kerohanian itu lebih penting.
Ia boleh menyebabkan seseorang mengatasi kesedihan dan kemurungan mereka serta berusaha memperbaiki diri.
Sememangnya muzik dan seni boleh mewujudkan kegembiraan dan membantu peminat memperbaiki diri secara berterusan.
Malah, dalam kebanyakan kajian berbeza, saintis mendapati, mendengar muzik ceria memperbaiki kesihatan dan memperkukuh rasa puas hati.
Boleh diyakini bahawa sebaik sahaja ahli muzik dan industri muzik memberi tumpuan kepada usaha menghasilkan dunia lebih baik, mereka akan cepat memahami bahawa sumbangan mereka amat penting.
Ini adalah penting bukan sahaja bagi melindungi bakat muzik yang hebat tetapi juga kepada peminat mereka yang akan mencorakkan haluan dunia ini.
https://www.bharian.com.my/rencana/muka10/2017/08/313303/muzik-jadi-penenang-pembunuh