logo
HARUN YAHYA
  • 1. Qaaf. Demi Al-Quran yang melimpah-limpah kemuliaan dan kebaikannya (bahawa sesungguhnya Muhammad adalah Rasul yang diutus memberi peringatan dan amaran).
  • 2. (Kaum musyrik Makkah bukan sahaja mengingkari kerasulannya) bahkan mereka merasa hairan kerana datang kepada mereka, dari kalangan mereka sendiri, seorang Rasul pemberi peringatan dan amaran (mengenai perkara hidup semula sesudah mati); lalu orang-orang yang kafir itu berkata: "Ini adalah satu perkara yang menakjubkan!
  • 3. "Adakah (kita akan kembali hidup) sesudah kita mati dan menjadi tanah? Itu adalah cara kembali yang jauh (dari kemungkinan, kerana jasad yang telah hancur tidak dapat diketahui lagi)".
  • 4. (Apa yang mereka katakan itu tidaklah benar, kerana) Kami sedia mengetahui apa yang dimakan oleh bumi sedikit demi sedikit dari (tubuh orang mati) mereka, serta ada di sisi Kami sebuah Kitab yang menyimpan (catitan segala perkara yang berlaku).
  • 5. (Mereka tidak mahu berfikir betul) bahkan mereka (terburu-buru) mendustakan kebenaran apabila sahaja sampainya kepada mereka; oleh sebab itu, mereka berada dalam keadaan yang serba kacau.
  • 6. (Kalaulah mereka menyangka Kami tidak berkuasa mengembalikan mereka hidup semula) maka tidakkah mereka memandang ke langit yang ada di sebelah atas mereka (dengan tidak bertiang) bagaimana Kami membinanya (dengan rapi) serta Kami menghiasinya (dengan bintang-bintang), dan dengan keadaan tidak ada padanya retak-renggang? -
  • 7. Dan juga (keadaan) bumi ini, (bagaimana) Kami bentangkan dia sebagai hamparan, dan Kami letakkan padanya gunung-ganang yang terdiri kukuh, serta Kami tumbuhkan padanya pelbagai jenis tanaman yang indah subur?
  • 8. (Kami adakan semuanya itu) untuk menjadi perhatian dan peringatan, (yang menunjukkan jalan kebenaran), kepada tiap-tiap seorang hamba Allah yang mahu kembali kepadaNya (dengan taat dan berbakti).
  • 9. Dan juga Kami telah menurunkan dari langit air (hujan) yang banyak faedahnya, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu pokok-pokok tanaman (buah-buahan) dan biji-bijian yang dituai;
  • 10. Serta pohon-pohon kurma yang tinggi menjulang, yang mengeluarkan mayang, berlapis-lapis, lagi lebat putiknya;
  • 11. (Semuanya itu) sebagai rezeki bagi hamba-hamba Kami. Dan lagi Kami telah hidupkan dengan air itu bumi yang mati; demikianlah pula keadaan keluarnya (orang-orang yang mati dari kubur setelah dibangkitkan hidup semula).
  • 12. Sebelum mereka (yang menentang Nabi Muhammad) itu - kaum Nabi Nuh, dan "Ashaabur-Rassi" serta Thamud (kaum Nabi Soleh), telah juga mendustakan Rasul masing-masing,
  • 13. Dan juga Aad (kaum Nabi Hud), dan Firaun, serta kaum Nabi Lut,
  • 14. Dan juga penduduk "Aikah", serta kaum " Tubba` "; tiap-tiap satu kaum itu telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutus kepadanya), lalu mereka ditimpa azab yang Aku janjikan.
  • 15. (Setelah mereka melihat dan memerhatikan makhluk-makhluk yang Kami ciptakan itu) maka adakah Kami telah lemah dengan ciptaan yang pertama itu (sehingga Kami tidak dapat mengadakannya semula? Tidak! Dan merekapun tidak mengingkari kekuasaan Kami). Bahkan mereka berada dalam keadaan keliru dan ragu-ragu tentang ciptaan makhluk-makhluk (hidup semula) dalam bentuk yang baharu.
  • 16. Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya,
  • 17. Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah kirinya.
  • 18. Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).
  • 19. Dan (apabila sampai ajal seseorang) datanglah "Sakaratulmuat" membawa kebenaran (yang telah dijanjikan, serta dikatakan kepada yang mengingkarinya sebelum itu): "Inilah perkara yang engkau selalu mengelak diri daripadanya!"
  • 20. Dan lagi (apabila sampai saat yang ditentukan) ditiuplah sangkakala (untuk menghidupkan semula makhluk-makhluk yang telah mati); saat itu ialah hari berlakunya amaran yang telah diberikan.
  • 21. Dan (setelah itu) datanglah tiap-tiap orang (ke Padang Mahsyar), disertai (dua malaikat: yang satu menjadi) pembawa, dan (yang satu lagi menjadi) saksi;
  • 22. (Serta dikatakan kepadanya): "Demi sesungguhnya! Engkau di dunia dahulu berada dalam keadaan lalai tentang (perkara hari) ini, maka kami hapuskan kelalaian yang menyelubungimu itu, lalu pandanganmu pada hari ini menjadi tajam (dapat menyaksikan dengan jelasnya perkara-perkara hari akhirat)".
  • 23. Dan berkatalah malaikat yang sentiasa ada bersama-samanya: "Inilah (Kitab catitan iman dan amal) orang yang terletak dalam jagaanku, siap sedia (untuk dibicarakan)".
  • 24. (Setelah tiap-tiap orang dibicarakan, Allah berfirman kepada kedua malaikat yang menjadi pembawa dan saksi itu): "Humbankanlah oleh kamu berdua, ke dalam neraka Jahannam tiap-tiap orang yang tetap degil dalam kekufurannya; -
  • 25. "Yang sering menghalangi jenis kebajikan, yang melanggar hukum ugama, lagi yang meragukan kebenaran,
  • 26. "Yang menyembah benda yang lain bersama-sama Allah; maka humbankanlah oleh kamu berdua akan dia ke dalam azab seksa yang seberat-beratnya".
  • 27. (Semasa ia dihumbankan ke dalam neraka Jahannam, ia mendakwa bahawa Syaitanlah yang menjadikan dia sesat; pada saat itu) Syaitan yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu) berkata: "Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong".
  • 28. Allah berfirman: "Janganlah kamu berbalah lagi di hadapanKu, (tidak ada gunanya berbalah pada masa Aku membuat keputusan); padahal (kamu sedia mengetahui bahawa) Aku dahulu telah memberi amaran kepada kamu (akan menyeksa orang-orang yang bersalah).
  • 29. "KeputusanKu itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti, dan Aku tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hambaKu".
  • 30. (Peringatkanlah manusia) akan hari Kami bertanya kepada neraka Jahannam: "Adakah engkau sudah penuh? " Ia menjawab: "Adakah lagi sebarang tambahan?"
  • 31. Dan (ingatkanlah pula hari) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa, di tempat yang tidak jauh (dari mereka).
  • 32. (Serta dikatakan kepada mereka): "Inilah yang dijanjikan kepada kamu, - kepada tiap-tiap hamba yang sentiasa kembali (kepada Allah dengan mengerjakan ibadat), lagi yang sangat memelihara dengan sebaik-baiknya (segala hukum dan peraturan Allah);
  • 33. "(Iaitu) orang yang takut (melanggar perintah Allah) Yang Maha Pemurah, semasa tidak dilihat orang dan semasa ia tidak melihat azab Allah, serta ia datang (kepada Allah) dengan hati yang tunduk taat".
  • 34. (Mereka dipersilakan oleh malaikat dengan berkata): "Masuklah kamu ke dalam Syurga dengan selamat sejahtera; hari ini ialah hari (bermulanya) kehidupan yang kekal".
  • 35. Mereka beroleh apa yang mereka kehendaki di situ, dan di sisi Kami ada lagi tambahan (limpah kurnia yang tidak terlintas di hati mereka).
  • 36. Dan berapa banyak kaum-kaum (yang ingkar) yang terdahulu daripada orang-orang musyrik Makkah itu Kami telah binasakan. Kaum-kaum itu lebih kekuatannya (dan kehandalannya) daripada mereka, lalu kaum-kaum itu keluar mencari perlindungan di merata-rata negeri. (Meskipun demikian keadaannya) dapatkah (mereka) menyelamatkan diri?
  • 37. Sesungguhnya (keterangan-keterangan dan peristiwa-peristiwa) yang tersebut itu, tidak syak lagi mengandungi pengajaran bagi sesiapa yang mempunyai hati (yang sedar pada masa membacanya), atau yang menggunakan pendengarannya dengan bersungguh-sungguh (kepada pengajaran itu) dengan menumpukan hati dan fikiran kepadanya.
  • 38. Dan demi sesungguhnya! Kami telah menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa, dan Kami tidak mengalami sebarang susah payah.
  • 39. Oleh itu bersabarlah (wahai Muhammad) akan apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu itu), dan bertasbihlah sambil memuji Tuhanmu (terutama) sebelum terbit matahari dan sebelum matahari terbenam.
  • 40. Serta bertasbihlah kepadaNya pada malam hari dan sesudah mengerjakan sembahyang.
  • 41. Dan dengarlah (apa yang diterangkan kepadamu sekarang ini mengenai hari kiamat), hari (malaikat yang menjadi) penyeru, menyeru (makhluk-makhluk yang telah mati) dari tempat yang dekat yang dapat didengar oleh semuanya),
  • 42. Iaitu hari mereka mendengar pekikan seruan yang menyatakan perkara yang benar; hari seruan itu ialah hari masing-masing keluar dari kubur.
  • 43. Sesungguhnya Kami menghidupkan dan mematikan, dan kepada Kamilah sahaja tempat kembali (sekalian makhluk).
  • 44. Pada hari bumi terbelah-belah untuk mereka segera keluar (daripadanya). Perbuatan (menghidupkan dan) menghimpunkan mereka di Padang Mahsyar itu, mudah bagi Kami melaksanakannya.
  • 45. Kami lebih mengetahui apa yang mereka katakan (dari berbagai tuduhan terhadapmu wahai Muhammad), dan engkau bukanlah seorang yang berkuasa memaksa mereka (supaya masing-masing beriman). Oleh itu, berilah peringatan dengan Al-Quran ini kepada orang yang takutkan janji azabKu.
KONGSI
logo
logo
logo
logo
logo
  • 1.Al-Faatihah
  • 2.Al-Baqarah
  • 3.A-li'Imraan
  • 4.An-Nisaa'
  • 5.Al-Maaidah
  • 6.Al-An'aam
  • 7.Al-A'raaf
  • 8.Al-Anfaal
  • 9.At-Taubah
  • 10.Yunus
  • 11.Hud
  • 12.Yusuf
  • 13.Ar-Ra'd
  • 14.Ibrahim
  • 15.Al-Hijr
  • 16.Al-Nahl
  • 17.Al-Israa'
  • 18.Al-Kahfi
  • 19.Maryam
  • 20.Taha
  • 21.Al-Anbiyaa'
  • 22.Al-Hajj
  • 23.Al-Mu'minuun
  • 24.An-Nuur
  • 25.Al-Furqaan
  • 26.Asy-Syu'araa'
  • 27.An-Naml
  • 28.Al-Qasas
  • 29.Al-'Ankabuut
  • 30.Ar-Ruum
  • 31.Luqman
  • 32.As-Sajdah
  • 33.Al-Ahzaab
  • 34.Saba'
  • 35.Faatir
  • 36.Yaa Siin
  • 37.As-Saaffaat
  • 38.Saad
  • 39.Az-Zumar
  • 40.Ghaafir
  • 41.Fussilat
  • 42.Asy-Syuura
  • 43.Az-Zukhruf
  • 44.Ad-Dukhaan
  • 45.Al-Jaathiyah
  • 46.Al-Ahqaaf
  • 47.Muhammad
  • 48.Al-Fat-h
  • 49.Al-Hujuraat
  • 50.Qaaf
  • 51.Adz-Dzaariyaat
  • 52.At-Tuur
  • 53.An-Najm
  • 54.Al-Qamar
  • 55.Ar-Rahmaan
  • 56.Al-Waaqi'ah
  • 57.Al-Hadiid
  • 58.Al-Mujaadalah
  • 59.Al-Hasy-r
  • 60.Al-Mumtahanah
  • 61.As-Saff
  • 62.Al-Jumu'ah
  • 63.Al-Munaafiquun
  • 64.At-Taghaabun
  • 65.At-Talaaq
  • 66.At-Tahriim
  • 67.Al-Mulk
  • 68.Al-Qalam
  • 69.Al-Haaqqah
  • 70.Al-Ma'aarij
  • 71.Nuh
  • 72.Al-Jinn
  • 73.Al-Muzzammil
  • 74.Al-Muddaththir
  • 75.Al-Qiaamah
  • 76.Al-Insaan
  • 77.Al-Mursalaat
  • 78.An-Naba'
  • 79.An-Naazi'aat
  • 80.'Abasa
  • 81.At-Takwiir
  • 82.Al-Infitaar
  • 83.Al-Mutaffifiin
  • 84.Al-Insyiqaaq
  • 85.Al-Buruuj
  • 86.At-Taariq
  • 87.Al-A'laa
  • 88.Al-Ghaasyiyah
  • 89.Al-Fajr
  • 90.Al-Balad
  • 91.Asy-Syams
  • 92.Al-Lail
  • 93.Adh-Dhuha
  • 94.Ash-Syar-h
  • 95.At-Tiin
  • 96.Al-'Alaq
  • 97.Al-Qadr
  • 98.Al-Bayyinah
  • 99.Az-Zalzalah
  • 100.Al-'Aadiyaat
  • 101.Al-Qaari'ah
  • 102.At-Takaathur
  • 103.Al-'Asr
  • 104.Al-Humazah
  • 105.Al-Fiil
  • 106.Quraisy
  • 107.Al-Maa'uun
  • 108.Al-Kauthar
  • 109.Al-Kaafiruun
  • 110.An-Nasr
  • 111.Al-Masad
  • 112.Al-Ikhlaas
  • 113.Al-Falaq
  • 114.An-Naas