Al-Quran yang menjadi panduan seluruh manusia, adalah Kalam Allah. Kita dapat mencapai akhlak yang diredai Allah dengan membaca ayat-ayat Al-Quran dan mengamalkannya. Ia amat mudah. Tetapi, sebaliknya kebanyakan manusia melakukan kesilapan dengan menyimpang jauh daripada nilai-nilai yang diredai Allah. Jika suatu hari, setiap orang di keliling kamu mengikut arahan Allah dan mengamalkan nilai-nilai murni yang Allah tuntut daripada manusia, sudah tentu dunia ini akan menjadi tempat yang lebih baik. Sekarang mari kita kaji secara ringkas apakah kebaikan-kebaikan ini.
Kita semua tahu Allah menjadikan manusia. Sudah tentu, Allah lebih mengetahui kebaikan dan keburukan yang dimiliki manusia. Seseorang itu mungkin dapat memperdayakan orang lain, tetapi tidak mungkin dapat menyembunyikan sesuatu daripada Allah. Kerana, tidak seperti kita, Allah tahu pemikiran dalaman manusia. Oleh itu, seseorang itu hendaklah sentiasa ikhlas dan amanah kepada Allah. Sepotong ayat menyatakan:
Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam dada kamu atau kamu melahirkannya, nescaya Allah mengetahuinya; dan Ia mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Surah Ali 'Imran: 29) Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian Ia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan menyeksa sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Surah Al-Baqarah: 284) |
Seorang yang menyedari Allah mendengar setiap patah perkataan yang dituturkannya, mengetahui setiap perlakuannya dan setiap apa yang difikirkannya, tidak akan melakukan kejahatan, walaupun ia terlindung daripada manusia lain. Ini bererti, untuk menjadi seorang yang benar-benar baik, dia mestilah meyakini kewujudan Allah dan kesatuan-Nya, mengakui kekuasaan-Nya dan menyedari Dia melihat dan mendengar segalanya. Ini salah satu prasyarat untuk mendapatkan nilai-nilai yang Allah tuntut daripada hamba-hamba-Nya.
Tidakkah kamu mengharapkan kasih sayang daripada ibubapa kamu? Kamu juga menyayangi mereka. Mereka memelihara, menyayangi dan memenuhi keperluan kamu. Kamu mempercayai mereka. Jika kamu berhadapan dengan kesusahan, kamu tahu mereka sedia membantu.
Pernahkah kamu terfikir, bagaimana kamu mencintai Allah dan meyakini-Nya?
Allah memenuhi keperluan setiap makhluk yang dijadikan-Nya. Terima kasih kepada rahmat-Nya, kita dapat hidup di dalam dunia ini dengan aman dan merasai berbagai nikmat.
Allah menjadikan matahari supaya kita dapat hidup di bumi. Allah juga menjadikan sayur-sayuran, buah-buahan dan haiwan untuk kita. Kita mempunyai roti, susu, daging dan berbagai sayur-sayuran dan buah-buahan lazat kerana Allah menjadikan semuanya untuk kita.
Allah menjadikan hujan agar kita mendapat air segar untuk minum. Dia menjadikan lautan, yang sentiasa berair masin. Tanpa hujan sudah tentu tidak ada air segar atau air masin di bumi. Air amat penting kepada kita. Seperti yang kamu tahu, manusia hanya akan selamat tanpa air selama beberapa hari sahaja.
Allah menempatkan sistem imuniti di dalam badan kita untuk melindungi kita daripada kuman. Terima kasih kepada sistem imuniti ini, kita tidak mati disebabkan oleh kuman-kuman ringkas yang menyebabkan demam biasa.
Di samping itu, Allah menjadikan jantung kita berdegup berterusan sepanjang hidup kita. Jika jantung kita perlu berhenti rehat pada waktu-waktu tertentu, seperti sebuah injin, sudah tentu kita mati. Tetapi jantung berdegup tanpa berhenti selama beberapa dekad tanpa rehat dan ini membolehkan kita hidup.
Allah menjadikan mata untuk melihat, telinga untuk mendengar, hidung untuk menghidu dan lidah untuk merasa. Ini hanya beberapa nikmat yang Allah berikan kepada kita. Kita tidak dapat menghitung nikmat yang Allah berikan kepada kita. Di dalam ayat lain, Allah Yang Maha Pemurah, memberitahu kita seperti berikut:
Dan Ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya. (Surah Ibrahim: 34) |
Seperti yang dapat difahami daripada Al-Quran, mengingkari nikmat-nikmat ini, melupakan semua nikmat-nikmat ini adalah daripada Allah dan tidak bersyukur di atas segala yang telah dikurniakan kepada kita, adalah perbuatan yang keji. Allah tidak mengasihi mereka yang tidak bersyukur.
Balasan kepada nikmat-nikmat-Nya, Allah hanya mahu kita menyayangi-Nya, dan bersyukur kepada-Nya, iaitu berterima kasih kepada-Nya. Arahan-Nya dicatatkan di dalam ayat berikut:
Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun; dan dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran); supaya kamu bersyukur. (Surah An-Nahl: 78) Oleh itu, makanlah (wahai orang-orang yang beriman) dari apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata. (Surah An-Nahl: 114) Dan Dialah jua yang mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur; tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur. (Surah Al-Mu'minun: 78) |
Di dalam ayat lain, ia menceritakan bahawa mereka yang beriman menyayangi Allah:
(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah. Dan kalaulah orang-orang yang melakukan kezaliman (syirik) itu mengetahui ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, bahawa sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya tertentu bagi Allah, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha berat azab seksa-Nya, (nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu). (Surah Al-Baqarah: 165) |
Allah menjaga dan memelihara ibu bapa kamu dan semua orang. Kita semua memerlukan Allah. Sama ada ibu bapa kita atau kita sendiri tidak dapat melakukan perkara-perkara ini. Kerana itu, kita hendaklah menyayangi Allah dan meyakini-Nya.
I Allah vas izvodi iz trbuha majki vaših kad ne znate ništa. I načinio vam je sluh i vidove i srca, da biste vi zahvaljivali. (En-Nahl, 78) |
Menyayangi Allah lebih daripada sesiapa atau apa sahaja, meyakini-Nya dan mengakui Dia telah memberikan kita segalanya adalah akhlak terbaik yang diredai Allah.
Allah tidak membenarkan kita menjadi sombong, memperolok-olokkan orang lain dan bongkak. Menjadi seorang yang jujur dan mulia adalah sifat-sifat yang diredai Allah.
Manusia sering terpengaruh dengan orang sekitar mereka. Jika mereka mempunyai kawan-kawan yang jahat, mereka akan dipengaruhi mereka. Tetapi seorang yang beriman dengan Allah dan mengakui Allah sentiasa melihatnya tidak akan melakukan perbuatan jahat, walaupun dia berhadapan dengan keadaan yang paling genting. Dia menjadi teladan terbaik kepada mereka yang tidak amanah dan suka melakukan kejahatan.
Allah sukakan orang yang sabar. Perkataan "sabar" di dalam Al-Quran tidak hanya merujuk kepada bersabar ketika berhadapan dengan kesukaran sahaja, tetapi ia bererti bersabar setiap masa sepanjang hidupnya. Kesabaran seseorang itu tidak akan berubah oleh manusia atau keadaan. Contohnya, orang yang tidak kuat keimanannya mungkin hanya akan berbuat baik kepada mereka yang boleh memberi keuntungan kepadanya, tetapi gagal melakukannya berterusan. Apabila kepentingannya sudah tiada, dia dengan segera berubah laku. Bagaimanapun, orang beriman sangat teliti menghindari perbuatan jahat. Dia bergaul dengan setiap orang dengan akhlak yang baik dan istiqamah melakukannya, tidak kira bagaimana keadaannya atau bagaimana perangai manusia. Walaupun dia berada di dalam keadaan marah, dia berusaha mengawal dirinya dan bersabar.
Di dalam sepotong ayat, Allah memerintahkan manusia berlumba-lumba ke arah kesabaran:
Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan). (Surah Ali 'Imran: 200) |
Kesabaran para nabi yang disebutkan di dalam Al-Quran memberikan kita contoh teladan. Jika kamu masih ingat, penderitaan Nabi Ayyub (a.s.) berlaku dalam tempoh begitu lama. Tetapi hamba Allah yang mulia ini bersabar dan berdoa kepada Allah. Allah menjawab doanya dan memberikannya jalan keluar.
Qarun was a very rich and arrogant person. |
Nabi Nuh (A.S) juga bersabar ketika masyarakatnya mencemuhnya kerana bahtera yang dibinanya. Dia tetap tenang dan menasihati mereka. Ini adalah contoh kesabaran luar biasa yang dipamerkan oleh manusia-manusia mulia ini. Allah menyebut di dalam banyak ayat bahawa Dia sukakan orang yang bersabar.
Sebaliknya, Allah tidak sukakan mereka yang angkuh. Tidak semua manusia menikmati kesenangan yang sama di dunia ini. Sebahagian memiliki rumah-rumah yang cantik dan kereta, sementara sebahagian yang lain tidak mempunyai apa-apa, tetapi yang penting ialah bagaimana seseorang itu mengawal dirinya dengan baik. Contohnya, beranggapan seorang sahabat lebih baik daripada yang lain hanya kerana dia berpakaian cantik, adalah perlakuan yang tidak diredai Allah. Kerana Allah menyuruh kita menilai seseorang itu berdasarkan kepada iman mereka, bukan penampilan diri.
As a result of his insolence towards Allah, the earth swallowed Qarun together with all his treasures. |
Bagi Allah, ukuran ketinggian tidak pada kekayaan dan kekuatan, kecantikan dan kegagahan, Allah menilai manusia berdasarkan kepada ketakwaan mereka, kecintaan mereka kepada-Nya, kesetiaan dan komitmen mereka untuk hidup berdasarkan kepada nilai-nilai Al-Quran. Inilah kriteria-kriteria untuk mencapai ketinggian pada pandangan Allah. Di dalam Al-Quran Allah menceritakan kisah Qarun untuk memberi pengajaran kepada kita.
Qarun adalah seorang yang sangat kaya. Dia sangat kaya sehinggakan kunci-kunci hartanya perlu dipikul beberapa orang. Orang-orang bodoh di kelilingnya berangan-angan untuk menjadi seperti Qarun dan berhasrat memiliki apa sahaja yang dimilikinya. Tetapi Qarun adalah seorang yang takbur dan sombong dan tidak taat kepada Allah. Dia menafikan Allah telah menjadikan semua kekayaan yang dimilikinya. Oleh itu, Allah menimpakan ke atas Qarun bencana yang dahsyat: Dia dan semua yang dimilikinya hilang dalam masa satu malam. Berikutan daripada bencana ini, mereka yang bercita-cita menjadi sepertinya pula bersyukur kerana tidak menjadi seperti itu. Mereka sedar ini adalah balasan daripada Allah:
Sesungguhnya Qarun adalah ia dari kaum Nabi Musa, kemudian ia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka; dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Ia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: "Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaan mu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah. (seperti lagakmu itu). (Surah Al-Qasas: 76) |
Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya. (Pada saat itu) berkatalah orang-orang yang semata-mata inginkan kesenangan kehidupan dunia: "Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun! Sesungguhnya dia adalah seorang yang bernasib baik".
Dan berkata pula orang-orang yang diberi ilmu (di antara mereka): "Janganlah kamu berkata demikian, pahala dari Allah lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh; dan tidak akan dapat menerima (pahala yang demikian) itu melainkan orang-orang yang sabar".
Lalu Kami timbuskan dia bersama-sama dengan rumahnya di dalam tanah, maka tidaklah ia mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya dari azab Allah, dan ia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri.
Dan orang-orang yang pada masa dahulu bercita-cita mendapat kekayaan seperti Qarun - mulai sedar sambil berkata: "Wah! Sesungguhnya Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dari hamba-hamba-Nya, dan Dialah juga yang menyempitkannya. Kalau tidak kerana Allah memberi pertolongan kepada kita tentulah kita akan dibinasakan dengan tertimbus di dalam tanah (seperti Qarun). Aduhai! Sesungguhnya orang-orang yang kufurkan nikmat Allah itu tidak akan berjaya!" (Surah Al-Qasas: 79-82) |
Al-Quran juga memaklumkan kepada kita bahawa 'gosip' dan 'fitnah' adalah di antara perbuatan yang tidak disukai Allah. Mencari-cari kesalahan orang lain, memfitnah dan menjadikan seseorang itu sasaran cemuhannya adalah perbuatan yang mesti dijauhi oleh orang-orang beriman. Di dalam Al-Quran, Allah mengharamkan gosip dan fitnah:
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. (Surah Al-Hujuraat: 12) |
Di dalam ayat ini, Allah menerangkan bahawa memfitnah itu adalah sama dengan memakan daging saudara sendiri.
Allah menyuruh kita berkelakuan baik di dalam pekerjaan harian kita. Hidup adalah satu peluang yang Allah berikan untuk mengikut jalan-Nya yang benar. Hari ini, ramai manusia tidak menyedari perkara ini. Mereka tidak mengikut ajaran dan suruhan Allah, tetapi sebaliknya mereka mencari panduan lain. Terpengaruh dengan filem-filem yang mereka tonton atau lagu-lagu yang mereka dengari, mereka mengambil nilai-nilai yang salah. Contohnya, remaja yang menonton seorang hero yang kejam dan ganas di dalam filem, selalunya akan mula mencontohinya sebaik sahaja dia meninggalkan pawagam.
Seorang yang bijak dan mulia, bagaimanapun, akan sentiasa mempamerkan akhlak yang disukai Allah. Para nabi adalah mereka yang harus diteladani jejak langkah mereka. Akhlak yang mesti kita miliki adalah nilai-nilai yang Allah redai. Ini termasuklah pengasih, pemaaf, sopan, merendah diri, sabar dan taat kepada Allah dan rasul-Nya. Seseorang yang mengambil nilai-nilai mulia seperti ini tidak akan melibatkan diri di dalam pergaduhan, sebaliknya dia akan meleraikan mereka dan bertoleransi dengan mereka. Daripada menentang dan menderhaka ibu bapa, Al-Quran sebaliknya menyuruh kita mentaati dan menghormati mereka. Di dalam Al-Quran, Allah menekankan kepentingan menghormati kedua ibu bapa:
Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).
Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil." (Surah Al-Isra: 23-24) |
Mentaati kedua ibubapa, tidak menunjukkan tanda-tanda jengkel kepada mereka seperti berkata "Isy", dan sentiasa mengasihani dan mengambil hati mereka adalah sikap-sikap penting yang dituntut Allah daripada kita. Mempamerkan sikap-sikap seperti ini membolehkan kita meraih kasih sayang Allah dan menjadikan kita lebih bahagia dan tenteram di dalam kehidupan seharian kita.
Seseorang itu hanya dapat mempamerkan akhlak yang dikehendaki Al-Quran sekiranya dia hidup berdasarkan Al-Quran. Orang-orang kafir amat sukar untuk melaksanakan nilai-nilai murni ini. Kamu hendaklah mengelak daripada menjadi seperti mereka dan sentiasa ingat ayat berikut:
Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)? (Surah Ali 'Imran: 142) |
Jangan lupa, Allah sentiasa lebih mengasihi kamu dan memberikan lebih nikmat-Nya kepada kamu sekiranya kamu bersabar, rendah diri, berkorban, bermurah hati dan berkelakuan baik.