Kamu semua telah sedia tahu tentang lebah madu. Mungkin kebanyakan daripada kamu pernah melihatnya di dalam cerita kartun di TV, atau, mungkin dalam kehidupan sebenar, berdesing-desing di merata tempat. Tetapi saya yakin ada banyak juga yang kamu tidak tahu tentang mereka... Tidak berapa lama dahulu, ibu, ayah dan saya telah pergi ke hutan untuk berjoging. Saya gembira di sana. Tetapi yang paling menggembirakan saya ialah seorang sahabat baru yang saya temui ketika kami beristirahat. Ia sangat kecil, tetapi ia amat bermakna kepada saya. Saya tidak akan melupakan sahabat kecil saya ini. Sudah tentu kamu tertanya-tanya siapakah dia? Sebenarnya, ia adalah seekor lebah madu yang riang. Ia datang kepada saya dan terbang mengelilingi saya untuk seketika. Mulanya, saya merasa takut disengat kerana ia terlalu hampir... Saya menjerit: "Jangan! Tolong jangan sengat saya. Saya tidak mahu dicederakan!". Dan kemudian sesuatu yang aneh berlaku, apabila lebah itu mula bercakap dengan saya.