14 abad lalu, Allah s.w.t telah menurunkan kitab suci Al-Qur'an kepada umat manusia sebagai sebuah kitab panduan serta menyeru manusia agar berpegang kepada kitab ini sebagai jalan untuk mendapatkan kebenaran. (Surah Al-Qalam: 52) Bermula saat ia diwahyukan sehingga ke saat pengadilan kelak, kitab suci ini akan kekal sebagai satu-satunya panduan bagi umat manusia.
Uslub bahasa yang tiada tandingan di dalam Al-Qur'an termasuk mutiara hikmah di dalamnya adalah bukti yang amat jelas bahawa ia adalah Kalamullah. Selain itu, ia mengandungi pelbagai ciri-ciri keajaiban yang sekaligus membuktikannya sebagai wahyu kudus dari Tuhan. Salah satu dari ciri-ciri ini ialah kenyataan bahawa sejumlah kebenaran saintifik yang hanya mampu disingkap melalui kemajuan teknologi di abad ke-20 ini sebenarnya telah pun diungkapkan di dalam Al-Qur'an 1400 tahun dahulu.
Sudah tentu Al-Qur'an bukanlah sebuah kitab sains. Tetapi, sejumlah fakta saintifik yang dinyatakan dengan begitu jelas dan tepat di dalam kandungan surahnya hanya mampu disingkap melalu kecanggihan teknologi mutakhir abad-20 dan 21 ini. Semua fakta ini tidak diketahui di saat Al-Qur'an diwahyukan dan jelas hal ini adalah bukti bahawa Al-Qur'an adalah Kalamullah s.w.t.
Untuk memahami keajaiban saintifik Al-Qur'an, pertamanya kita akan melihat tahap kemajuan sains di waktu kitab suci ini diturunkan.
Pada abad ke-7, ketika Al-Qur'an diwahyukan, masyarakat arab telah memiliki pelbagai kepercayaan khurafat dan yang tidak berasas berhubung dengan pelbagai isu saintifik. Kedaifan peralatan teknologi untuk menyelidiki alam semesta dan bumi menyebabkan mereka mempercayai legenda dan mitos yang diwariskan dari generasi ke generasi, sebagai contoh mereka mendakwa bahawa gunung-ganang berfungsi sebagai penongkat langit, mereka percaya bahawa bumi adalah datar dan bahawa di sana terdapat gunung-gunung yang tinggi terletak di setiap penghujungnya. Mereka menyangkakan bahawa gunung-gunung ini adalah tiang yang menyebabkan langit berbentu kubah di ruang angkasa.
Tetapi, semua kepercayaan khurafat ini telah ditolak oleh Al-Qur'an. Dalam surah As-Shaad ayat ke-2 dinyatakan: Dia-lah yang meninggikan langit-langit tanpa sebarang sokongan. Ayat ini sekaliguas membatalkan kepercayaan bahawa langit yang berada di atas adalah akibat sokongan gunung-ganang. Dalam banyak subjek lain, sejumlah besar fakta yang signifikan telah dinyatakan ketika tidak seorang pun yang mengetahuinya. Al-Qur'an yang diturunkan ketika umat manusia hanya mempunyai sedikit pengetahuan yang menyentuh disiplin seperti astronomi, fizik atau biologi, pada asasnya mengandungi fakta mengenai pelbagai subjek seperti penciptaan alam semesta, manusia, struktur atmosfera dan keseimbangan di dalamnya yang menyokong aktiviti kehidupan di atas muka bumi. Sekarang, mari kita lihat beberapa keajaiban saintifik yang dinyatakan di dalam kitab suci Al-Qur'an bersama-sama.